"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guna alasan buang ‘pendamping’, bomoh mengaku cabul pelajar tingkatan empat

HADI AB. MANAP
TERTUDUH mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas empat pertuduhan mencabul seorang pelajar perempuan tingkatan empat. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
MELAKA: Padah mencabul seorang pelajar perempuan tingkatan empat dengan muslihat kononnya ingin membuang pendamping daripada tubuh mangsa, seorang bomoh berdepan hukuman penjara 80 tahun selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan terhadapnya di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hukuman terhadap tertuduh, Zemi Rahim, 50, bagaimanapun ditangguhkan Hakim Mohd. Sabri Ismail pada 3 November ini bagi menunggu laporan penuh fakta kes.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang juga seorang jurulatih Muay Thai didapati telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja berusia 16 tahun dua bulan.

Perbuatan itu dilakukan di kawasan semak di Jalan Taman Malim Jaya dan kawasan perindustrian berdekatan sebuah pasar raya di Cheng dalam daerah Melaka Tengah antara awal September sehingga 9 Oktober 2023.

Tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen kanun sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada Selasa lalu, Utusan Malaysia melaporkan, seorang jurulatih Muay Thai yang mendakwa dirinya sebagai bomoh direman tujuh hari bermula bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang pelajar perempuan tingkatan empat di kawasan semak berhampiran sebuah pasar raya di Malim.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Khairunnisak Hasni terhadap suspek lelaki berusia 50 tahun.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, pada mulanya suspek dipercayai datang ke rumah remaja itu untuk mengubati ibu saudara mangsa.

Ujarnya, suspek kemudiannya memberitahu ibu mangsa bahawa dia mahu mengubati remaja berkenaan kerana mendakwa terdapat pendamping di badan mangsa. – UTUSAN

Tiada ulasan: