"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengapa Hadi sangat angkuh?

Roslan Abd Rahman

Anwar Ibrahim diangkat sebagai perdana menteri dengan mandat yang kukuh melalui sokongan 148 ahli parlimen. Usul undi percaya terhadap perdana menteri juga diluluskan dengan sokongan suara di Dewan Rakyat pada 19 Dis 2022.

Jika diundi bilangannya pasti menyamai undi yang diperolehi oleh Johari Abdul selaku calon Kerajaan Perpaduan untuk jawatan Speaker Dewan Rakyat, iaitu 148 undi (jika dikira bersekali dengan undi Hanifah Hajar Taib yang tidak sempat mengundi kerana tiba lewat di Dewan Rakyat).

Logiknya, dengan kedudukan yang kukuh itu tiada sebarang sebab untuk Anwar menghulurkan tangan menjemput PN - khasnya PAS dan Bersatu - menyertai Kerajaan Perpaduan.

Pun begitu Anwar akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong sewaktu awal pembentukan Kerajaan Perpaduan bahawa semua ahli parlimen perlu menghulurkan tangan antara satu sama lain bagi merapatkan semula saf demi masa depan negara.

Itulah yang menyebabkan Anwar membuat tawaran kepada PN.

Bagaimanapun PAS dan Bersatu mengeluarkan kenyataan rasmi yang jelas menolak tawaran tersebut. Setelah ditolak, masih lagi Anwar berbuat baik dengan kerajaan-kerajaan negeri pimpinan PN.

Apabila Kelantan dan Terengganu dilanda banjir, Anwar sendiri turun melawat mangsa banjir dan menyalurkan peruntukan sebanyak RM50 juta setiap negeri selain bantuan wang ihsan RM1,000 kepada ketua isi rumah (KIR) yang berpindah, dan RM10,000 kepada keluarga yang mengalami kematian.

Elak kafirkan orang

Bagi menyelesaikan isu air di Kelantan (juga di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan), Anwar melalui Belanjawan 2024 menyediakan RM1.1 bilion bagi membina Loji Rawatan Air Machang Fasa 1 berkapasiti 250 juta liter sehari, menggantikan paip simen asbestos untuk mengurangkan kadar kehilangan air dan gangguan bekalan ekoran paip bocor serta menambah sewaan lori tangki dan tangki statik bertujuan memastikan rakyat mendapat bekalan air segera ketika berlaku gangguan sementara menunggu projek berkenaan siap.

Bagaimanapun, pada pemimpin PAS terus menghina dan mengkritik peribadi Anwar di sebalik usaha perdana menteri menjernihkan hubungan.

Antaranya ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, yang mendakwa Anwar berbohong menerima gaji RM1 ketika menjadi penasihat ekonomi Selangor.

Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim, pula mendakwa Anwar memiliki sikap dendam yang lebih teruk daripada Dr Mahathir Mohamad, dan menuduh perdana menteri menipu rakyat Malaysia dan Yang di-Pertuan Agong berkenaan jumlah ahli parlimen yang menyokongnya meraih majoriti di Dewan Rakyat.

Di sebalik semua itu Anwar masih cuba mengamalkan sikap berbaik-baik dengan PN. Ketika menjadi tetamu rancangan temu bual CNBC di Indonesia pada 14 Jan lalu, Anwar misalnya menyatakan harapan agar pembangkang di Malaysia tidak terlalu mempertajam permusuhan.

Anwar juga berharap mereka menghindari mengeluarkan kenyataan yang menghukum dan mengkafirkan orang.

Jika itu dapat diringankan, kata Anwar, dia yakin kerajaan dan pembangkang di Malaysia boleh berdialog dengan lebih baik.

Dalam temu bual dengan wartawan majalah Time, Debasish Roy Chowdhury, pada 11 Okt lalu, Anwar ditanya sama ada dia masih mempertimbangkan untuk menjemput PAS menyertai Kerajaan Perpaduan atau tidak, perdana menteri menjelaskan bahawa sejak awal penubuhan Kerajaan Perpaduan lagi dia sudah memikirkan kemungkinan itu demi kebaikan negara.

Ketika ditanya sama ada ia mungkin berlaku atau sebaliknya, Anwar menyatakan dia tidak menolak kemungkinan itu jika PAS boleh menerima syarat-syarat dasar utama (major policy conditions) Kerajaan Perpaduan.

Malangnya, keterbukaan Anwar itu disambut dengan penuh hinaan oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang. Dalam ucapan dasar di Muktamar Tahunan PAS ke-69, di depan tetamu kehormat dari negara luar, Abdul Hadi menyebut: “Kerajaan yang didakwa sebagai Kerajaan Perpaduan dibentuk daripada kalangan mereka yang bermasalah dan mahu menyelamatkan diri masing-masing. Mereka terdiri daripada mantan banduan, kluster mahkamah dan bakal yang hendak diselamatkan secara tidak bermoral dan tidak bermaruah.”

Usah melampau batas

Tidak cukup dengan itu, pada sidang media selepas itu Abdul Hadi menyatakan kepada semua wartawan bahawa "Kalau kita nak bersihkan najis, tak boleh masuk dalam tong najis.”

Kenyataan Abdul Hadi itu amatlah mendukacitakan. Kenyataan tersebut tidak sepatutnya dibuat oleh pemimpin tertinggi sebuah parti menggunakan nama Islam.

Ia juga tidak wajar sama sekali keluar dari mulut seorang yang mempotretkan dirinya sebagai ulama atau pendakwah kerana jelas tidak selaras dengan ajaran Islam, sebaliknya penuh dengan hasad dengki dan dendam kesumat.

Islam mengajar alim ulama atau pendakwah agar menyeru manusia ke jalan Tuhan dengan cara hikmah, memberi nasihat pengajaran yang baik dan berbahas dengan juga dengan cara yang terbaik (an-Nahl: 125), bukan dengan menyerang peribadi mereka.

Untuk berdepan dengan pemerintah yang bengis dan zalim seperti Firaun sekali pun, Allah memerintahkan Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS supaya bertutur dengan kata-kata yang lemah-lembut seperti maksud Firman Allah: “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.” (Taaha: 43-44).

Jika berdepan dengan pemerintah yang kufur pun begitu ajaran Islam, apatah lagi dengan pemerintah Islam.

Abdul Hadi sepatutnya akur kepada titah Agong bahawa semua ahli parlimen perlu menghulurkan tangan antara satu sama lain demi masa depan negara kerana "Kesetiaan Kepada Raja dan Negara" adalah salah satu teras Rukun Negara.

Mengibaratkan Kerajaan Perpaduan seperti “tong najis” serta mendakwa ia dianggotai oleh banduan, bekas perasuah dan kluster mahkamah adalah kebiadaban dan penghinaan kepada kebijaksanaan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Penilaian kepada Kerajaan Perpaduan sepatutnya dibuat pada dasar-dasarnya.

Selain konsep Malaysia Madani dengan tumpuan kepada tata kelola yang baik sebagai terasnya, Kerajaan Perpaduan tertegak atas perjanjian persefahaman yang ditandatangani pada 16 Dis 2022.

Dalam perjanjian itu jelas tercatat semua 18 tekad Kerajaan Perpaduan, umumnya untuk setia kepada Agong sebagai ketua negara serta demi memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

“Mewujudkan masyarakat adil dan negara demokratik yang progresif, inklusif serta bersatu padu”, “mempertahankan sistem raja berperlembagaan”, “memelihara Islam sebagai agama persekutuan”, “mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi” serta “menegakkan keluhuran dan kedaulatan undang-undang, kebebasan kehakiman dan institusi-institusi awam” adalah antara perkara yang dipersetujui oleh PAS.

Justeru mengapakah Abdul Hadi tidak memperkatakan hal-hal tersebut sebaliknya menumpukan serangan secara peribadi?

Sejak menjadi perdana menteri sudah berulang kali Anwar mengingatkan anggota kabinet mengenai keutamaan kepada aspek tata kelola. Amaran juga sudah beberapa kali diberikan bahawa sesiapa anggota kabinet yang terlibat dengan kes rasuah akan dipecat serta-merta.

Bercakap mengenai dakwaan rasuah, Abdul Hadi sepatutnya lebih cermat berkata-kata kerana pada saat ghairah menuduh Kerajaan Perpaduan, dia mungkin terlupa bahawa sudah ramai pemimpin PN yang termasuk dalam kluster mahkamah.

Dalam soal mengibaratkan Kerajaan Perpaduan seperti tong najis, siapakah sebenarnya “tong najis” sedangkan Anwar mengumumkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan dikurangkan kepada lapan kali setahun berbanding 22 kali yang diluluskan oleh kerajaan PN sebelum ini?

Pada sidang media selepas mesyuarat khas kabinet di Putrajaya pada 5 Dis 2022 lagi Anwar mengumumkan hal itu dengan menyebut: “Kita tidak ada kecenderungan mengutip dana haram, jadi hari ini saya sebagai menteri kewangan membatalkan keputusan cabutan khas perjudian.”

Tegasnya, tanggungjawab Anwar sudah terlepas, manakala Abdul Hadi hanya memalukan diri dan partinya kerana seperti meludah ke langit lalu menimpa muka dengan kata-kata keji sendiri.

Tiada ulasan: