"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zahid Hamidi beri bayangan bakal tamatkan karier politik

Muhamad Lokman Khairi
bhnews@bh.com.my

BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa beliau berhasrat menamatkan karier politiknya selepas berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bagan Datuk sejak 1995.

Beliau berkata, kini dirinya berada di penghujung perkhidmatan sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

"Saya menjadi Ahli Parlimen dari 1995, pada hemat saya satu perkhidmatan yang cukup panjang.

"Saya sedang berada di penghujung perkhidmatan sebagai Ahli Parlimen, tetapi sebelum saya tamatkan perkhidmatan itu saya mahu lihat Bagan Datuk membangun dan maju. Bagan Datuk nombor satu dalam pendidikan di Perak sekurang-kurangnya.

"Saya mahu daerah ini mempunyai infrastruktur yang baik, kita mahu juga kemiskinan dalam kalangan orang India, Cina dan Melayu dikurangkan dan inilah hasrat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Deepavali di Kompleks UMNO Bagan Datuk, di sini, hari ini.

Ditanya sekiranya penggal ini bakal menjadi penggal terakhir beliau sebagai Ahli Parlimen Bagan Datuk, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu hanya menjawab secara ringkas beliau di penghujung perkhidmatan.

"Ya (saya) di penghujung perkhidmatan, kita akan ada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), ke-17 dan ke-18. Jadi kita tunggulah ketikanya yang sesuai," katanya.

Tiada ulasan: