"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jurulatih taekwando disyaki cabul 4 kanak-kanak ditahan

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Shah Alam: Polis mengesahkan menahan seorang jurulatih seni mempertahankan diri yang didakwa mencabul empat pelatih kanak-kanak di pusat latihan di Shah Alam.

Perbuatan jijik lelaki berusia 20 tahun yang juga penuntut kolej swasta itu terbongkar selepas mangsa mengadu kepada ibu bapa masing-masing.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian dikatakan berlaku sekitar September sehingga Oktober lalu.

"Laporan pertama berkaitan kejadian diterima pada 1.53 tengah hari Khamis lalu daripada ibu kepada kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.

"Mangsa mendakwa dicabul suspek semasa berada di dalam tandas di pusat latihan berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Iqbal, setakat ini empat laporan diterima membabitkan empat mangsa berbeza berusia antara tujuh hingga sembilan tahun.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek menjadi tenaga pengajar di pusat latihan itu sejak setahun lalu.

Katanya, suspek ditahan reman empat hari bermula semalam sehingga Isnin ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Beliau meminta individu mempunyai maklumat kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Naqiuddin Nawawi di talian 012-3848103.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, kanak-kanak perempuan trauma selepas didakwa dicabul jurulatih taekwando.

Ibu kanak-kanak berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Aida, 36, dilaporkan berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan anaknya pada 1 November lalu.

Tiada ulasan: