"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rompak pegawai Olimpik Mongolia di Paris, 3 lelaki ditahan

AFP

PARIS: Tiga lelaki ditahan kerana merompak ketua perwakilan Olimpik Mongolia dengan melarikan beg mengandungi barang kemas bernilai €600,000.

Ahli Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa itu tiba di Paris awal bulan ini untuk menghadiri mesyuarat jawatankuasa keselamatan menjelang Olimpik Musim panas yang bakal diadakan di Perancis pada 2024.

Tiga lelaki berusia antara 22 hingga 25 tahun itu ditahan minggu lalu di Seine-Saint-Denis, utara Paris yang bakal menjadi lokasi beberapa acara penting sukan Olimpik kelak selain tempat perkampungan atlet, menurut sumber penguat kuasa yang enggan dinamakan kepada AFP.

Pada 11 Oktober, pegawai dari Mongolia itu yang tidak dinamakan, dirompak ketika beliau dan isteri dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Charles de Gaulle ke ibu kota.

Rompakan dilakukan dalam Terowong Landy sepanjang 1.3km yang sering menjadi sasaran perompak.

Dalam kejadian itu, dua lelaki menaiki sebuah skuter menghampiri kereta dinaiki mangsa. Seorang daripada mereka memecahkan tingkap kenderaan itu dan meragut beg mengandungi barang kemas yang diletakkan di kerusi belakang, kata sumber polis.

Pasangan Mongolia itu menganggarkan jumlah kerugian sebanyak €570,000, kata pendakwa.

Menurut Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, mangsa mengendalikan beberapa syarikat di Mongolia.

Sementara itu, penyiasat percaya pasukan sama merompak dua warga Saudi pada 2 Oktober dengan melarikan barang kemas serta barangan berharga lain bernilai €500,000.

Dalam siasatan mereka, polis tidak menemui barangan berharga berkenaan, tetapi pelbagai gambar barang kemas ditemui dalam telefon bimbit suspek.

Suspek mengakui mengaut untung €6,000 selepas menjual semula jam tangan curi, tetapi tidak memberi maklumat mengenai barang kemas milik pasangan Mongolia itu.

Tiada ulasan: