"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas CEO anak syarikat TH mula hukuman penjara 5 tahun

V Anbalagan
Mahkamah Rayuan mengesahkan sabitan mahkamah rendah terhadap Nor Badli Munawir Alias Lafti atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan dua pertuduhan pengubahan wang haram. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Bekas ketua pegawai eksekutif TH Heavy Engineering Bhd (THHE) akan mula menjalani hukuman penjara lima tahun hari ini atas tuduhan melakukan pecah amanah jenayah (CBT) berjumlah RM1.57 juta dan pengubahan wang haram berjumlah RM1.1 juta, 10 tahun lalu.

Sebelum ini, Nor Badli Munawir Alias Lafti, 57, diikat jamin RM600,000 sementara menunggu keputusan rayuan terakhirnya di Mahkamah Rayuan hari ini.

THHE dahulunya merupakan syarikat bersekutu Tabung Haji.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Vazeer Alam Mydin Meera berkata Mahkamah Sesyen mahupun Mahkamah Tinggi tidak membuat sebarang penemuan tidak munasabah untuk mewajarkan campur tangan rayuan.

“Selain itu, hakim bicara mempunyai kelebihan audio dan video dalam membuat penemuan fakta,” kata Vazeer, yang bersidang bersama Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azmi Ariffin untuk mendengar rayuan itu.

Nor Badli pada asalnya dijatuhkan hukuman penjara lima tahun serentak oleh Mahkamah Sesyen bagi setiap tiga tuduhan CBT dan dua kesalahan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Bagaimanapun, ia kemudiannya ditambah kepada lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi. Mahkamah Rayuan kemudian mengurangkannya kembali kepada lima tahun tetapi memerintahkan ia bermula hari ini.

Nor Badli, bapa kepada enam anak, telah menyeleweng tiga keping cek bernilai RM400,000, RM570,000 dan RM600,000 di pejabat THHE Fabricators Sdn Bhd di Bangsar di sini antara April dan Oktober 2013.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Nor Badli terlepas daripada hukuman rotan kerana berusia lebih 50 tahun.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram pula, Nor Badli disabitkan bersalah menerima RM570,000 daripada pengarah Bicara Sepakat Sdn Bhd Murhasmee Mukhtar di sebuah restoran di Ara Damansara, Petaling Jaya pada 26 Jun 2013.

Dia juga disabitkan bersalah menerima RM600,000 lagi hasil aktiviti haram daripada Murhasmee di restoran sama pada 11 Sept 2013.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan .

Peguam Kitson Foong, Hisyam Teh Poh Teik, K Kumaraendran, Chew Jee San dan Vam Shir Mooi mewakili Nor Badli.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nahra Dollah, Parveen Hamedah Natchiar dan Aida Khairuleen Azli.

Tiada ulasan: