"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu: Langgar rakan kongsi perniagaan sebelum tikam 15 kali

Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my
ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa yang ditemukan mati dengan 15 kesan tikaman di tepi jalan besar Kuala Berang berhampiran Pejabat Agama Hulu Terengganu hari ini. FOTO Ghazali Kori

Kuala Terengganu: Seorang peniaga wanita ditemukan mati dengan 15 kesan tikaman di bahagian badan di tepi jalan besar Kuala Berang berhampiran Pejabat Agama Hulu Terengganu, hari ini.

Mayat berusia 65 tahun ditemui pengawal keselamatan di dalam longkang di kawasan berkenaan pada jam 4.35 pagi.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dilanggar suspek wanita yang juga rakan kongsinya berusia 35 tahun.

Beliau berkata, mangsa dan suspek sebelum itu menaiki kenderaan jenis Honda Jazz dan berlaku pertengkaran antara mereka.

Katanya, mangsa dikatakan keluar dari kenderaan berkenaan sebelum suspek yang juga seorang tukang jahit bertindak melanggar mangsa.

"Suspek kemudian keluar dari kenderaan berkenaan dan bertindak menikam mangsa sebelum meninggalkan lokasi dengan menumpang sebuah van.

"Suspek berjaya ditahan di rumahnya di Wakaf Tapai, Marang kira-kira jam 11 pagi," katanya ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Mazli berkata, siasatan awal kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati berhubung agihan keuntungan perniagaan pakaian dan tudung yang diusahakan mereka sejak lima tahun lalu.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebilah pisau pemotong daging yang dibuang suspek berhampiran rumahnya.

"Honda Jazz yang ditinggalkan di lokasi kejadian adalah milik suami suspek dan selepas kejadian itu, suspek dikatakan menahan kenderaan yang melalui kawasan berkenaan untuk pulang ke rumahnya.

"Mayat dibawa ke Hospital Hulu Terengganu sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

"Suspek akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan mayat wanita berusia lingkungan 50 hingga 60-an ditemukan di dalam longkang dipercayai dibunuh berdekatan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu di Jalan Batu 23, Kuala Berang.

Mangsa dipercayai warga tempatan ditemukan tertiarap oleh orang awam kira-kira jam 3 pagi tadi.

Tiada ulasan: