"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menteri: 1,315 cuba bunuh diri dalam 2 minggu

Mohamad Fadli

BANGI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 1,315 cubaan bunuh diri dalam tempoh dua minggu selepas ciri baharu di aplikasi MySejahtera yang dinamakan MyMinda dilancarkan 22 Okt lalu.

Menteri Dr Zaliha Mustafa berkata, statistik tingkah laku atau cubaan membunuh diri itu adalah daripada keseluruhan 6,955 saringan bagi melihat status kesihatan mental yang diperoleh daripada aplikasi berkenaan.

“Dari tarikh kita lancarkan MyMinda ini jumlah saringan yang kita dapat dalam masa dua minggu adalah 6,955 bagi melihat status kesihatan mental masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Minda Sihat Hidup Sejahtera dan Perjanjian Persefahaman (MoU) Kesihatan Mental di tempat kerja antara KKM dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

Hadir sama Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.

Dalam pada itu, Zaliha berkata daripada 6,955 saringan diterima, sebanyak 2,820 orang didapati berisiko kemurungan manakala 1,271 bergejala kemurungan dan 2,887 mengalami keresahan.

“Komponen MyMinda ini terdiri daripada saringan minda sihat, sumber psikopendidikan dan akses kepada talian bantuan psikososial. Pelancaran komponen MyMinda ini adalah salah satu intervensi awal psikososial yang dapat dicapai di hujung jari sahaja,” katanya.

Menurutnya, MyMinda adalah salah satu komitmen KKM dalam meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan mental melalui digitalisasi selari perkembangan teknologi digital.

Sementara itu, Sivakumar berkata berdasarkan statistik Penyakit Pekerjaan Negara Tahun 2022, hanya satu kes psikososial dilaporkan sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, kementeriannya mengambil serius isu kesihatan mental di tempat kerja dan sedang membangunkan dasar berkaitan dengan melibatkan semua pemegang taruh termasuk agensi kerajaan, majikan, pekerja, persatuan dan badan bukan kerajaan.

Tiada ulasan: