"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Banding Hadi, Sanusi, ‘elok’ lagi Samsuri

Ameer Fakhri

PETALING JAYA: Ahmad Samsuri Mokhtar yang menang PRK Kemaman, semalam, dilihat berupaya membentuk semula persepsi bukan Melayu terhadap PAS, kata penganalisis politik.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia, berkata menteri besar Terengganu itu dianggap “menyanggah sepenuhnya stereotaip pemimpin PAS” dan berpotensi diangkat sebagai calon perdana menteri daripada parti itu.

“Beliau lebih elok dan mengelak kontroversi berbanding pemimpin PAS lain. Anda tidak melihat beliau membuat kenyataan keterlaluan seperti Sanusi Nor (menteri besar Kedah) malah Abdul Hadi Awang (presiden PAS),” katanya.

Katanya, Samsuri yang pernah melanjutkan pengajian ke United Kingdom dan dilihat “mampu bertutur dalam bahasa Inggeris” mungkin menjadi daya penarik kepada bukan Muslim.

Azmil berkata, Dewan Rakyat akan menjadi platform kepada Samsuri untuk lebih dikenali, terutama kepada rakyat di luar Terengganu, yang mana beliau menjadi Adun selama dua penggal.

Semalam, Samsuri mempertahankan Parlimen Kemaman selepas menumpaskan calon Barisan Nasional, Raja Affandi Raja Noor, dengan 37,220 undi majoriti. Beliau meraih 64,998 undi, manakala Raja Affandi, bekas jeneral bersara mendapat 27,778 undi.

Margin undi diperoleh lebih besar berbanding 27,179 undi majoriti dimenangi calon PAS, Che Alias Hamid, pada PRU15 Nov 2022. Kemenangan Alias dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya pada September lalu susulan rasuah pilihan raya.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia, berkata keputusan PRK Kemaman termasuk PRN pada Ogos lalu, menunjukkan corak pengundian orang Melayu di Terengganu tidak berubah.

Dengan pengundi Melayu mewakili 98% jumlah keseluruhan pemilih di negeri itu, beliau berkata pengundi kekal dalam naratif Melayu Muslim. “PAS berjaya menambah undi majoriti walaupun jumlah keluar mengundi lebih rendah (65.76%),” katanya.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata kekalahan besar Umno bukan isyarat parti itu menuju penamat, malah parti itu perlu mencari ikhtiar memenangi semula sokongan pengundi Melayu sebelum PRU akan datang, yang mesti dilaksanakan selewat-lewatnya penghujung 2025.

Beliau berkata, pengundi tradisi Umno jelas tidak mengundi atau menukar sokongan kepada Perikatan Nasional.

“Berbanding apa diperkatakan Zahid Hamidi (presiden Umno) bahawa Kemaman bukan kubu kuat PAS, perasaan berpuas hati dengan prestasi PAS ketika ini berlaku di seluruh Terengganu. Sentimen ini berkembang ke Kedah, Kelantan, dan Perlis juga,” katanya.

Tiada ulasan: