"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pandora Papers: 'Zafrul mesti disiasat! Mengapa?'

Ilah Hafiz Aziz
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz hari ini mengemukakan beberapa persoalan terhadap pihak yang sekali lagi mendesak dirinya disiasat susulan pendedahan 12 individu rakyat Malaysia dalam Pandora Papers pada 2021.

Beliau dalam video berdurasi 4.22 minit menyoal mengapa dirinya kembali diasak untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sedangkan beliau hanya bekerja dengan syarikat Kumpulan Kenanga sahaja.

Mengulangi kenyataan pada 2021, beliau menegaskan tidak memiliki syarikat terbabit sebaliknya dilantik sebagai pengarah syarikat serta anak syarikat Kumpulan Kenanga, Capital Investment (Labuan) Limited dari tempoh Januari 2009 hingga Jun 2010.

"Saya melepaskan semua jawatan selepas dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Maybank Investment Bank Bhd. dan syarikat (Capital Investment) bukan saya yang punya

"Capital Investment diperbadankan di Labuan yang menjadi pusat kewangan luar pesisir antarabangsa oleh Kerajaan Malaysia pada 1990 sewaktu zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

"Sehingga kini Labuan masih berperanan sebagai pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa (LIBFC) di bawah seliaan agensi kerajaan Labuan Financial Services Authority (LFSA)

"Jadi adakah mereka yang mahu saya disiasat itu mengatakan semua syarikat yang dibuka di Labuan menjalankan perniagaan haram dan melanggar undang-undang," katanya di laman X, di sini hari ini.

Pandora Papers, antara lain menyebut, kira-kira 12 individu Malaysia, termasuk empat ahli politik, antara puluhan ketua negara, kerajaan dan pemerintah dari serata dunia yang didapati menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir bagi menyembunyikan aset bernilai ratusan juta dolar, sepanjang 25 tahun lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Ketua Pembangkang pernah mengusulkan untuk membahaskan pendedahan Pandora Papers.

Beliau pada sesi Parlimen 2021, berang malah menuduh Speaker Dewan Rakyat ketika itu sengaja menolak usul itu, malah mendakwa , Datuk Azhar Azizan bertindak sebagai 'peguam bela' kepada pemimpin politik dan ahli perniagaan yang dikaitkan dalam laporan itu.

Dalam video itu juga, Tengku Zafrul turut melontarkan persoalan adakah SPRM harus menyiasat semua syarikat kewangan termasuk mereka yang bekerja di LIBFC susulan desakan itu.

"Adakah mereka mahu minta supaya semua pengarah syarikat kewangan di Labuan disiasat oleh SPRM dan adakah mereka mahu tuduh Kerajaan Malaysia menggalakkan aktiviti haram susulan penubuhan LIBFC.

"Jika anda semua nak tahu, ada lebih 940 syarikat yang berdaftar dengan LFSA, antaranya 70 bank dan 237 syarikat insurans. Sehingga kini bank-bank di Labuan memiliki hampir AS$50 bilion aset dan syarikat insuran di situ juga mempunyai premium insurans sehingga AS$1.7 bilion. Adakah semua aset ini haram," katanya.

Beliau turut meminta pihak yang mendesak dirinya disiasat supaya menghuraikan kesalahan yang membabitkannya kerana beliau sendiri masih tertanya-tanya.

Tiada ulasan: