"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Troli besi dalam hutan FRIM ditutup ranting, daun terbiar rupanya berisi dadah RM19 juta'

Aizat Sharif
bhnews@bh.com.my
Kamarudin (tengah) bersama Mohamad dan pegawai polis lain menunjukkan sebahagian syabu bernilai RM19 juta yang ditemui dalam hutan simpan Persekutuan FRIM di Padang Besar. NSTP/AIZAT SHARIF
Kamarudin (tengah) bersama Mohamad dan pegawai polis lain menunjukkan sebahagian syabu bernilai RM19 juta yang ditemui dalam hutan simpan Persekutuan FRIM di Padang Besar. NSTP/AIZAT SHARIF
KANGAR: Polis melumpuhkan sindiket pengedaran dadah terbesar di Perlis yang menggunakan kawasan Hutan Simpan Persekutuan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Padang Besar sebagai lokasi transit selepas merampas 528 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM19 juta pada Rabu lalu.

Dalam kejadian itu juga, empat lelaki berusia antara 21 hingga 42 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Kamarudin Md Din, berkata sindiket itu terbongkar selepas anggota polis daripada JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun di sebuah rumah di sekitar Padang Besar.

"Hasil soal siasat dengan suspek kemudian membawa kita kepada satu tempat penyimpanan sejumlah besar dadah di kawasan Hutan Simpan Persekutuan FRIM di Jalan Tasoh-Kaki Bukit-Padang Besar.

"Pemeriksaan di kawasan itu menemui sebuah troli besi ditutupi ranting dan daun terbiar yang di dalamnya ada 20 guni berjahit mengandungi 480 bungkusan plastik teh cina disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat 528 kilogram.

"Susulan tangkapan lelaki itu akhirnya membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki berusia antara 21 hingga 42 tahun di lokasi sama yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes terbabit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Perlis, Datuk Mohamad Abdul Halim.

Kamarudin berkata, risikan polis mendapati sindiket berkenaan aktif sejak setahun lalu dan menggunakan laluan Hutan Simpan Persekutuan FRIM itu sebagai transit untuk membawa masuk bekalan syabu itu dari negara jiran.

"Bekalan syabu itu dipercayai diperoleh dari Thailand dan dibawa masuk menggunakan 'laluan tikus' di sempadan Malaysia-Thailand yang hanya sekitar tiga kilometer saja dari hutan simpan berkenaan, manakala jaraknya dengan jalan utama sekitar dua kilometer.

"Jadi, memang ada akses untuk kenderaan masuk ke lokasi itu untuk meletak dan kemudian membawa bekalan dadah itu pergi.

"Syabu itu kemudian akan diedarkan dan dipasarkan di keseluruhan kawasan Pantai Barat Semenanjung Malaysia dengan jumlah keseluruhan dadah dirampas itu boleh digunakan seramai 2.6 juta orang," katanya.

Kamarudin berkata, pihaknya sedang menyiasat sama ada terdapat pembabitan kakitangan penyelia kawasan hutan berkenaan memandangkan kawasan itu adalah satu kawasan hutan simpan Persekutuan.

"Selain itu, kita turut meneliti sama ada terdapat dalang kes ini di antara empat suspek yang ditahan itu dan kita juga sedang mengesan saki baki individu atau anggota sindiket yang terbabit.

"Dalam serbuan dilakukan juga, kita turut merampas jam tangan, wang tunai, lapan motosikal dan tiga kereta, sebuah pacuan empat roda dan sebuah jengkaut dipercayai digunakan ahli sindiket untuk membawa masuk bekalan syabu itu," katanya.

Beliau berkata, hasil saringan awal air kencing suspek mendapati semua mereka positif dadah jenis ketamin dan syabu serta suspek turut mempunyai pelbagai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

"Suspek direman tujuh hari bermula 10 dan 11 Januari lalu dan dijangka disambung reman mereka bagi membantu siasatan.

"Semua rampasan dianggarkan bernilai RM19 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Tiada ulasan: