"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bagaimana dadah untuk 2.6 juta orang boleh disorok dalam hutan simpan?

Harapandaily

Timbul persoalan bagaimana 20 guni berjahit berisi dadah yang boleh digunakan seramai 2.6 juta orang boleh disorok dalam kawasan Hutan Simpan Persekutuan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Padang Besar.

Penemuan mengejutkan oleh polis di lokasi terbabit sekaligus melumpuhkan sindiket pengedaran dadah terbesar di Perlis.

Sebanyak 528 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM19 juta dirampas baru-baru ini.

Empat lelaki berusia antara 21 hingga 42 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Kamarudin Md Din, sindiket itu terbongkar selepas anggota polis daripada JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun di sebuah rumah di sekitar Padang Besar.

“Hasil soal siasat dengan suspek kemudian membawa kita kepada satu tempat penyimpanan sejumlah besar dadah di kawasan Hutan Simpan Persekutuan FRIM di Jalan Tasoh-Kaki Bukit-Padang Besar.

“Pemeriksaan di kawasan itu menemui sebuah troli besi ditutupi ranting dan daun terbiar yang di dalamnya ada 20 guni berjahit mengandungi 480 bungkusan plastik teh cina disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat 528 kilogram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, di sini, hari ini.

Susulan tangkapan lelaki itu, Kamarudin berkata, tiga lagi lelaki berusia antara 21 hingga 42 tahun ditahan di lokasi sama yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes terbabit.

Jelasnya, risikan polis mendapati sindiket itu aktif sejak setahun lalu dan menggunakan laluan Hutan Simpan Persekutuan FRIM itu sebagai transit untuk membawa masuk bekalan syabu itu dari negara jiran.

“Bekalan syabu itu dipercayai diperoleh dari Thailand dan dibawa masuk menggunakan ‘laluan tikus’ di sempadan Malaysia-Thailand yang hanya sekitar tiga kilometer saja dari hutan simpan berkenaan, manakala jaraknya dengan jalan utama sekitar dua kilometer.

“Jadi, memang ada akses untuk kenderaan masuk ke lokasi itu untuk meletak dan kemudian membawa bekalan dadah itu pergi.

“Syabu itu kemudian akan diedar dan dipasarkan di keseluruhan kawasan Pantai Barat Semenanjung Malaysia dengan jumlah keseluruhan dadah dirampas itu boleh digunakan seramai 2.6 juta orang,” ujarnya.

Dalam masa sama, katanya, polis sedang menyiasat sama ada terdapat pembabitan kakitangan penyelia kawasan hutan berkenaan memandangkan kawasan itu adalah satu kawasan hutan simpan Persekutuan.

“Selain itu, kita turut meneliti sama ada terdapat dalang kes ini di antara empat suspek yang ditahan itu dan kita juga sedang mengesan saki baki individu atau anggota sindiket yang terbabit.

“Dalam serbuan dilakukan juga, kita turut merampas jam tangan, wang tunai, lapan motosikal dan tiga kereta, sebuah pacuan empat roda dan sebuah jengkaut dipercayai digunakan ahli sindiket untuk membawa masuk bekalan syabu itu,” katanya, dipetik BH.

Beliau berkata, hasil saringan awal air kencing suspek mendapati semua mereka positif dadah jenis ketamin dan syabu serta suspek turut mempunyai pelbagai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

“Suspek direman tujuh hari bermula 10 dan 11 Januari lalu dan dijangka disambung reman mereka bagi membantu siasatan.

“Semua rampasan dianggarkan bernilai RM19 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tiada ulasan: