"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bunuh 3 anak, hukuman mati warga Indonesia dikekalkan

Ho Kit Yen

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati ke atas seorang lelaki yang membunuh tiga anak perempuannya pada 2002.

Dengan keputusan itu, panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Presiden Mahkamah Rayuan Hakim Abang Iskandar Abang Hashim menjadi yang pertama menolak permohonan meringankan hukuman mati bawah Akta Semakan Hukuman Mati Dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) yang digubal tahun lepas.

Panel yang turut dianggotai Hakim Mary Lim and Abu Bakar Jais itu memutuskan bahawa hukuman mati yang dijatuhkan ke atas warga Indonesia, Junaidi Bambang, adalah kukuh.

“Berdasarkan keadaan, kes ini tidak memerlukan penggunaan budi bicara kami,” kata Abang Iskandar.

Junaidi membunuh tiga anaknya – Julaiha, Julaika dan Juriyanti – pada 27 Feb 2002 di rumah mereka di Kampung Dusun, Pekan, Pahang.

Pada 2005, Mahkamah Tinggi mendapati dia bersalah dan menjatuhkan hukuman mati. Kedua-dua sabitan dan hukuman mati itu kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Junaidi memfailkan semakan tahun lepas, meminta Mahkamah Persekutuan mengetepikan hukuman mati itu.

Menurut fakta kes, Junaidi tidak setuju dengan keputusan isterinya, Leha Pigi, membawa dua anak perempuan mereka ke Melaka, menyebabkan perselisihan faham antara pasangan itu.

Mayat ketiga-tiga anaknya itu kemudian ditemukan oleh isterinya, yang turut menjumpai Junaidi yang telah meminum racun perosak.

Menurut pakar patologi dalam laporan bedah siasat, anak-anak pasangan itu meninggal dunia disebabkan “asfiksia kerana dicekik”.

Dalam keterangannya, Junaidi mengaku mencekik anak-anak perempuannya.

Awal hari ini, S Kulaselvi yang mewakili Junaidi selaku peguam menggesa mahkamah agar mengurangkan hukuman mati kepada 35 tahun penjara.

Beliau berkata, anak guamnya berharap diberi peluang untuk memperbaik dirinya, setelah dipenjarakan 22 tahun.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Amril Johari memberitahu mahkamah, pihak pendakwaan membantah permohonan semakan oleh Junaidi, kerana tertuduh secara terang-terangan bertindak tanpa mengendahkan nyawa manusia.

Tiada ulasan: