"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PN diberitahu, putus hubungan dengan Dr M atau ditolak bukan Melayu

Mohd Farhan Darwis
Dr Mahathir Mohamad dikritik kerana kenyataannya, orang India di Malaysia mesti ingat mereka ialah rakyat Malaysia lebih daripada pendatang. (Gambar Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan)
PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) disaran memutuskan kerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad atau berdepan penolakan pengundi bukan Melayu susulan kenyataan kontroversi bekas perdana menteri terhadap komuniti itu, kata penganalisis.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, Mahathir yang diangkat penasihat tidak rasmi negeri ditadbir PAS (SG4) boleh dianggap sebagai liabiliti, terbaru dengan mengeluarkan kenyataan mendakwa masyarakat India tidak setia kepada Malaysia kerana “masih terikat dengan negara asal”.

SG4 membabitkan Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.

“Jika tiada tindakan terhadap Mahathir dengan memutuskan kerjasama, itu bukti PN mahu Mahathir terus bersama mereka untuk naikkan sentimen Melayu tanpa peduli sensitiviti kaum lain.

“Kalau ini pertimbangannya, saya rasa PN akan semakin ditolak,” katanya kepada FMT sambil menegaskan penolakan paling besar datang daripada segmen pengundi bukan Melayu.

“Mereka (bukan Melayu) lihat Mahathir sebagai penasihat di negeri dikuasai PAS sebagai tak sensitif dengan isu pelbagai kaum, seolah tak memahami hakikat sejarah dan kontrak sosial.”

Baru-baru ini, dalam temubual dengan saluran berita Tamil, Thanthi TV dari Chennai, India, Mahathir berkata, orang India di Malaysia mesti ingat mereka ialah rakyat Malaysia lebih daripada pendatang.

Ditanya sama ada ini bermakna orang India di Malaysia harus berasimilasi sepenuhnya dan “menjadi Melayu”, Mahathir bersetuju.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia turut senada, kenyataan Mahathir memberi kesan kepada gabungan diketuai Muhyiddin Yassin, pada PRU15 dan PRN ditolak pengundi bukan Melayu yang memilih Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, PN sebenarnya tidak terkesan jika memutuskan hubungan dengan Mahathir kerana beliau tidak lagi mempunyai pengaruh besar dalam politik negara.

“Pengaruh Mahathir memang masih wujud terutama dalam kalangan Melayu, namun tidak sekuat dahulu.

“Tanpa bersekutu dengan mana-mana gabungan besar seperti PH, Barisan Nasional atau PN, parti politik diterajui Mahathir tidak mampu memenangi kerusi jauh sekali tubuh kerajaan,” katanya merujuk kekalahan Gerakan Tanah Air (GTA) di semua kerusi pada PRU15.

Mahathir ketika itu gagal mempertahankan Parlimen Langkawi dan hilang deposit, ditewaskan calon PN Mohd Suhaimi Abdullah.

Tiada ulasan: