"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Seorang wanita tempatan dan 27 pekerja Bangladesh ditahan kerana pinda maklumat pasport

FMT Reporters

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Kuala Lumpur menahan seorang wanita warga tempatan dan 27 pekerja warga Bangladesh di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam kerana dipercayai meminda maklumat dalam pasport.

Kumpulan pekerja Bangladesh yang diiringi oleh wanita dipercayai wakil majikan sebuah syarikat tempatan itu ditahan ketika hadir di pejabat imigresen untuk pengesahan cap jari bagi tujuan pendaftaran dalam program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0).

“Hasil pemeriksaan menggunakan Sistem Jabatan MyIMMS mendapati terdapat pindaan pada butiran nombor pasport lama dan butiran diri dalam pasport pada muka surat biodata kesemua warga Bangladesh tersebut,” kata Ketua Pengarah Imigresen Ruslin Jusoh, lapor Sinar Harian.

Ruslin berkata, wanita berusia 39 tahun itu ditahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan diserahkan kepada Unit Siasatan Bahagian Penguatkuasa JIM Kuala Lumpur.

Kesemua warga Bangladesh itu pula, yang berusia antara 24 hingga 46 tahun, ditahan bawah akta sama berhubung kesalahan menggunakan atau tanpa kuasa yang sah memiliki dokumen perjalanan yang dipinda atau dipalsukan.

“(Seramai) 27 orang pendatang asing tanpa izin warga Bangladesh itu dihantar ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan serta tindakan lanjut,” tambahnya.

Sehubungan itu, Ruslin menegaskan agar semua pihak bekerjasama untuk memastikan negara ini bukan tempat yang kondusif kepada pendatang asing tanpa izin dan majikan yang mengupah atau melindungi golongan tersebut.

Tambahnya, sebarang aduan berkenaan pendatang asing tanpa izin di sekitar ibu kota boleh disalurkan ke Unit Aduan, Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kuala Lumpur.

Orang ramai juga boleh menghantar ke aduan_penguatkuasajimwpkl@imi.gov.my atau menelefon talian 03-6205 7515.

Tiada ulasan: