"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Masjid terbakar dipercayai angkara khianat

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Solat Jumaat tiga hari lalu adalah yang terakhir buat penduduk Kampung Parit Simis di Sri Medan di sini selepas masjid itu terbakar dipercayai angkara khianat, malam tadi.

Masjid yang baru siap kira-kira dua tahun lalu itu rosak teruk dengan anggaran kerugian melebihi RM150,000 selepas sebahagian besar peralatan dan mimbar terbakar.

Pengerusinya, Mat Sunari Paiman berkata, kebakaran disedari pada 10.46 malam oleh seorang rakannya yang melihat api di ruang solat ketika mahu menggunakan tandas masjid.

"Dia (rakan) nampak api dalam masjid dan berpatah balik memberitahu penduduk. Secara kebetulan, saya tidak berada di kampung kerana ada urusan lain.

"Mereka bersama penduduk membantu memadam kebakaran. Apa yang menghairankan ialah bomba tiba di lokasi mendapati ada bau petrol dan sudah mengambil sampel untuk dianalisa.

MASJID Kampung Parit Simis yang terbakar dipercayai angkara khianat.
"Lebih menyedihkan ialah lapan penghawa dingin baru dipasang tidak sampai sebulan turut musnah. Mimbar untuk kegunaan membaca khutbah yang tidak sampai setahun dipasang juga musnah," katanya.

Mat Sunari berkata, pasukan bomba juga menemui kesan petrol di bawah permaidani selain lidi penyapu yang dipercayai digunakan untuk menyalakan api.

"Yang saya hairan kenapa penyapu lidi dibakar berada atas permaidani... kalau kita selak permaidani ini, masih ada bau petrol.

"Inilah masjid yang biasa digunakan penduduk di kampung untuk solat fardu dan Jumaat serta aktiviti keagamaan lain, memandangkan Masjid Kampung Parit Lapis Simis masih dalam pengubahsuaian.

"Nampaknya, penduduk di kampung terpaksalah meredah kira-kira tiga atau empat kilometer untuk solat Jumaat minggu ini," katanya.

Difahamkan, masjid itu siap pada November 2022 dan digunakan penduduk sebelum ditutup semula akibat banjir besar pada Mac lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, polis menerima laporan kebakaran itu pada 11.30 malam.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengesan jika terdapat unsur jenayah. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan ke mana-mana balai berhampiran atau kepada Balai Polis Seri Medan di talian 07-4850222," katanya.

Tiada ulasan: