"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengarah, penerbit Mentega Terbang didakwa di mahkamah Rabu ini

Alyaa Alhadjri

Pengarah dan penerbit filem Mentega Terbang akan didakwa di mahkamah atas kesalahan "melukakan perasaan agama orang lain", pada Rabu ini.

Notis mahkamah yang dilihat Malaysiakini dihantar kepada prosedur filem itu, Tan Meng Khai yang menyatakan dia dikehendaki hadir ke mahkamah untuk dihadapkan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Malaysiakini difahamkan pengarah Khairi Anwar juga akan didakwa.

Seksyen 298 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Pada tahun lalu, Tan dan Khairi disiasat polis berhubung filem tersebut.

Mentega Terbang mengisahkan remaja berusia 15 tahun, Aishah yang bergelut dengan persoalan kehidupan selepas mati dalam pelbagai agama - seperti konsep kelahiran semula - setelah ibunya didiagnos menghidap penyakit kritikal.

Ia ditayangkan pada 2021 dan turut disiarkan di platform Viu, sebelum mengundang perhatian dan kontroversi kira-kira dua tahun kemudian.

Khairi dan pelakon Arjun Thanaraju turut menerima ugutan bunuh manakala kereta mereka disimbah cat ketika filem tersebut hangat diperkatakan.

Kementerian Dalam Negeri mewartakan perintah larangan bagi penayangan filem itu pada September lalu. Khairi dan syarikat produksi Meng Kheng Entertainment kemudian mencabarnya di mahkamah.

Tiada ulasan: