"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi: Bekalan gas susut, harga elektrik bakal meningkat

FMT Reporters

PETALING JAYA: Harga elektrik berkemungkinan akan terus meningkat dalam tempoh lima tahun akan datang berikutan Malaysia mengalami kekurangan bekalan gas domestik ketika sedang menamatkan penggunaan loji jana kuasa arang batu, kata Rafizi Ramli.

Bekas menteri ekonomi itu berkata isu berkenaan bukan hanya mengenai TNB atau bil elektrik, sebaliknya cabaran keselamatan tenaga yang mendesak.

“Ini bukan sekadar masalah TNB. Ini adalah masalah negara,” katanya dalam satu episod audio siar Yang Berhenti Menteri baru-baru ini.

Rafizi berkata sistem penjanaan elektrik Malaysia direka beberapa dekad lalu ketika negara mempunyai bekalan gas yang banyak.

Bagaimanapun, katanya, bekalan gas domestik di Semenanjung Malaysia kini semakin tidak mencukupi, menyebabkan negara terpaksa meningkatkan kebergantungan kepada import gas asli cecair (LNG).

Katanya, kesannya sudah dapat dilihat pada harga gas, dengan harga gas Tahap 2 melonjak daripada paras rujukan kira-kira RM46 bagi setiap juta unit terma British (MMBtu) kepada antara RM70 hingga RM80 setiap MMBtu susulan gangguan di sekitar Selat Hormuz.

Menurut Rafizi, kenaikan harga yang mendadak itu menunjukkan bekalan gas domestik tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan sektor elektrik, walaupun pada kadar sekitar 800 juta kaki padu piawai sehari.

“Malaysia perlu mengimport gas. Ini bermakna keseimbangan bekalan gas sudah menjadi masalah,” katanya.

Rafizi berkata langkah kerajaan baru-baru ini untuk mengurangkan beban bil elektrik tidak seharusnya dilihat sebagai penyelesaian kekal.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan perlindungan bil elektrik bagi pengguna domestik akan diperluas daripada 600kWh kepada 800kWh sebulan mulai bulan ini hingga 31 Dis.

Di bawah langkah itu, pengguna domestik yang menggunakan sehingga 800kWh sebulan akan dikecualikan daripada Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA), caj runcit serta cukai jualan dan perkhidmatan.

Bagaimanapun, Rafizi memberi amaran bahawa masalah asas itu akan menjadi lebih serius apabila pengeluaran gas asli domestik terus merosot, menyebabkan Malaysia semakin bergantung kepada import bagi memenuhi permintaan.

Bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia bergantung terutamanya kepada tiga sumber, iaitu arang batu, gas dan tenaga boleh baharu.

Data terkini menunjukkan arang batu menyumbang kira-kira 57.9% daripada penjanaan elektrik, diikuti gas sebanyak 34.9%, manakala hidro dan solar masing-masing menyumbang 4.7% dan 2.5%.

Rafizi berkata Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada arang batu sebagai penyelesaian jangka panjang, sambil menyatakan komitmen negara untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Katanya, penjanaan elektrik berintensiti karbon tinggi juga boleh menyebabkan pengeksport Malaysia dikenakan cukai karbon di pasaran seperti Eropah, Jepun dan Korea Selatan, sekali gus menjejaskan daya saing mereka di pasaran global.

Pada masa sama, katanya, tenaga solar tidak boleh dikembangkan dengan cukup pantas untuk menggantikan arang batu sepenuhnya kerana kekangan berkaitan tanah, penyimpanan bateri, pembiayaan dan pelaksanaan sistem solar atas bumbung yang perlahan.

“Kita tidak boleh menjadikan seluruh negara sebagai ladang solar. Kita masih memerlukan tanah untuk penanaman padi, kelapa sawit dan kegunaan lain,” katanya.

Amaran itu dibuat ketika kerajaan turut mengkaji potensi tenaga nuklear dalam campuran tenaga Malaysia pada masa depan.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata pada Mac bahawa MyPOWER Corporation Malaysia sedang menjalankan penilaian menyeluruh terhadap potensi program tenaga nuklear Malaysia, meliputi pembangunan dasar, rangka kerja perundangan dan kawal selia, kebolehlaksanaan projek, penyertaan industri, penglibatan pihak berkepentingan serta pembangunan modal insan.

Rafizi berkata gas sepatutnya berperanan sebagai bahan api peralihan ketika Malaysia meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu dan mengurangkan kebergantungan kepada arang batu secara berperingkat.

Namun, katanya, keadaan itu menimbulkan percanggahan kerana Malaysia tidak mempunyai bekalan gas domestik yang mencukupi.

Rafizi berkata kebergantungan yang lebih besar kepada LNG import akan menyebabkan aliran keluar tunai meningkat kerana pembelian dibuat dalam dolar AS, sekali gus memberi tekanan kepada ringgit sekiranya Malaysia perlu membelanjakan berbilion ringgit setiap tahun untuk mendapatkan bekalan gas import.

Beliau memberi amaran bahawa kebergantungan kepada gas import juga akan melemahkan kedaulatan tenaga Malaysia, dengan mengambil contoh kebergantungan Eropah kepada gas murah dari Rusia sebelum perang Rusia-Ukraine.

“Kita sudah melihat apa yang berlaku kepada negara-negara Eropah apabila mereka terlalu bergantung kepada gas murah dari Rusia,” katanya.

Rafizi berkata beban itu akhirnya akan ditanggung pengguna kerana kerajaan tidak boleh selama-lamanya memberikan subsidi bagi menampung kos elektrik.

Katanya, mekanisme AFA perlu difahami dalam konteks yang lebih luas kerana bil elektrik berkemungkinan semakin terdedah kepada perubahan harga bahan api dan kadar pertukaran asing.

Rafizi berkata kekurangan gas, peningkatan kos import dan peralihan daripada arang batu bermakna tarif elektrik akan terus berada di bawah tekanan melainkan Malaysia mempercepatkan pembangunan tenaga boleh baharu dan menangani masalah keseimbangan bekalan gas negara dalam jangka panjang.

Tiada ulasan: