"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki warga China mengaku bersalah 'buka balai polis' di New York

AGENSI

NEW YORK: Seorang penduduk New York yang menurut pendakwa raya mengendalikan 'balai polis rahsia' di daerah Chinatown di Manhattan, di sini, bagi membantu Beijing menyasarkan penentangnya, mengaku bersalah atas tuduhan bersubahat untuk bertindak sebagai ejen asing tidak berdaftar.

Chen Jinping, 61, membuat pengakuan itu ketika sesi perbicaraan di Mahkamah Persekutuan Brooklyn di hadapan Hakim Daerah Amerika Syarikat (AS), Nina Morrison.

Pada 30 Mei lalu, mahkamah mengumumkan lelaki itu berdepan hukuman penjara lima tahun.

Ketika berada di mahkamah, Chen mengaku mengalih keluar artikel dalam talian mengenai balai polis yang didakwa dibuka bagi pihak kerajaan China pada September 2022.

Chen dan seorang lagi defendan yang berpangkalan di New York, Lu Jianwang, pada mulanya ditangkap pada 17 April 2023.

Lu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang sama, selain didakwa menghalang keadilan ditegakkan.

Penangkapan ke atas dua warga China itu dibuat berikutan penyiasatan pada 2022 yang diterbitkan oleh kumpulan advokasi berpangkalan di Sepanyol, Safeguard Defenders yang melaporkan China menubuhkan 'stesen perkhidmatan' di luar negara termasuk di New York.

Ia beroperasi secara haram dengan polis China menekan pelarian supaya kembali ke China.

Jabatan Kehakiman meningkatkan siasatan terhadap apa yang dipanggil 'penindasan transnasional' oleh musuh AS seperti China dan Iran untuk menakut-nakutkan lawan politik yang tinggal di AS.

Dalam pada itu, Kedutaan China di Washington setakat ini belum memberikan respons balas bagi mengulas mengenai rayuan Chen.

Kerajaan China sebelum ini memaklumkan terdapat pusat di luar China yang dikendalikan oleh sukarelawan tempatan, bukan dalam kalangan pegawai polis China.

Ia bertujuan membantu warga China memperbaharui dokumen dan menawarkan perkhidmatan lain.

Beijing turut menuduh Washington mengada-adakan tuduhan untuk mencemarkan imej China.
- BHarianonline 

Tiada ulasan: