Malaysiakini
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkata pihaknya memandang serius sebarang isu melibatkan salah laku dan pelanggaran melibatkan kakitangan institusi pengajian tinggi.
Merujuk dakwaan seorang pensyarah Universiti Malaya (UM) menghantar gambar bogel kepada pelajar, KPT memberi jaminan pihaknya dan UM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak jika terbukti bersalah dan tindakan tegas akan diambil.
“Kementerian dimaklumkan isu ini telah ditangani secara rasmi sejak tarikh aduan diterima, dan Unit Integriti UM sedang menjalankan siasatan secara aktif. Semua prosedur serta peraturan berkaitan dipatuhi sepenuhnya.
“UM juga mempunyai garis panduan dan peraturan khusus berhubung isu gangguan seksual, dan langkah-langkah yang sewajarnya sedang diambil untuk melindungi hak semua pihak,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.
Pada 18 Disember lalu, UM berkata pihaknya sedang menyiasat dakwaan seorang pensyarah menghantar gambar bogelnya kepada beberapa pelajar.
Perkara itu dibangkitkan oleh Kelab Feminisme UM (UMFC) dua hari sebelumnya, yang turut mendakwa pensyarah itu mempunyai sejarah dakwaan gangguan seksual dan telah dilaporkan oleh pelajar sebelum ini.
Semalam, UMFC menyerahkan memorandum kepada pihak pentadbiran UM, yang antara lain mendesak pensyarah tersebut digantung tugas.
Dalam pada itu, KPT menyeru semua pihak memberi ruang untuk siasatan dibuat secara menyeluruh, memandangkan individu yang terlibat telah membuat laporan polis.
“Kementerian menegaskan sebarang tindakan yang diambil mestilah selaras dengan undang -undang sedia ada, kerana langkah yang melanggar tata cara perundangan akan mencabuli proses siasatan yang sedang berlangsung,” kata Kementerian itu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan