Bernama
KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang warga Bangladesh bulan lalu.
Koperal Muhammad Arieff Marhalim, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Izralizam Sanusi.
Dia bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa merompak jongkong emas anggaran berat 1,499.81g bernilai RM580,345.26, wang tunai RM7,000 dan sebuah telefon bimbit Redmi Note 13 yang merupakan harta dalam kawalan mangsa, Robin Miah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Pudu, Dang Wangi di sini pada 12.25 tengah hari hingga 3.15 petang 26 Nov lalu mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, manakala peguam Shah Rizal Abdul Manan memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya masih berkhidmat dan mempunyai tanggungan keluarga, termasuk tiga anak.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Jan depan untuk sebutan kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan