"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Pelanggan hotel lari akibat tebing sungai runtuh

Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my
Pengarah Hotel GRV, Gan Yeong Shuoh meninjau keadaan terkini runtuhan tebing Sungai Kelantan di Jalan Post Office Lama, pada Isnin lalu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pengarah Hotel GRV, Gan Yeong Shuoh meninjau keadaan terkini runtuhan tebing Sungai Kelantan di Jalan Post Office Lama, pada Isnin lalu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Kota Bharu: Pelanggan Hotel Grand Riverview (GRV) masih selamat untuk menginap di hotel berkenaan biarpun berlaku runtuhan tebing Sungai Kelantan di Jalan Post Office Lama di sini, Isnin lalu.

Pengarah Hotel GRV, Gan Yeong Shuoh berkata, pihaknya sudah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Kelantan untuk melakukan pemeriksaan awal serta kajian lebih teliti sejurus runtuhan berlaku.

"Pihak kami dimaklumkan bahawa kawasan di sekitar hotel adalah selamat.

"Namun agak menyedihkan apabila ada kalangan pelanggan hotel membatalkan tempahan bilik disebabkan bimbang dengan situasi yang berlaku.

"Tidak dinafikan perniagaan hotel sedikit terjejas, namun saya ingin tegaskan lokasi hotel kami masih selamat dan pelanggan tidak perlu berasa bimbang untuk datang menginap di sini.

"Jarak runtuhan tebing dengan lokasi hotel adalah lebih 300 meter dan dalam masa terdekat ini, pihak kami akan membuat satu video pendek untuk menjelaskan keadaan sebenar kepada pelanggan," katanya tadi.

Yeong Shuoh berkata, Hotel GRV ditubuhkan pada tahun 1996 dan kejadian runtuhan tebing yang berlaku itu adalah kali pertama sepanjang mereka beroperasi.

"Kejadian runtuhan tebing ini tidak pernah terjadi pada musim tengkujuh lalu. Apa yang berlaku baru-baru ini adalah di luar jangka.

"Pada 27 November lalu, pokok ara yang terletak di belakang hotel tumbang disebabkan angin kencang namun ia tidak menjejaskan kawasan di sekitar hotel," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, satu runtuhan sepanjang hampir 50 meter dikesan di tebing Sungai Kelantan, tengah hari Isnin lalu.

Runtuhan itu menyebabkan laluan pejalan kaki dan rekreasi turut runtuh pada ketinggian hampir 10 meter.

Dalam pada itu, JPS Kelantan sedang merangka pelan tindakan pemulihan tebing Sungai Kelantan yang runtuh itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata, JPS sudah mengadakan lawatan segera ke lokasi bagi menilai situasi dan kini sedang merangka pelan tindakan pemulihan tebing berkenaan.

Selain itu, agensi lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah dan Galian Galian (PTG) juga akan terbabit dalam usaha tindakan susulan bagi memastikan langkah pemulihan dapat dijalankan dengan cekap dan berkesan.

Tiada ulasan: