ADRIANA MROON AMBROSE (TERJEMAHAN)
Gout Gout, kini menjadi sebutan selepas mempamerkan prestasi luar biasa di Kejohanan Sekolah Australia di Brisbane, Australia hujung minggu lalu. — Agensi
PELARI remaja sensasi, Gout Gout, kini menjadi sebutan selepas mempamerkan prestasi luar biasa di Kejohanan Sekolah Australia di Brisbane, Australia hujung minggu lalu.
Pelajar berusia 16 tahun itu bukan sahaja memecahkan rekod kebangsaan tetapi turut mendapat perhatian legenda pecut dunia, Usain Bolt.
Pada acara 200 meter, Gout mencatatkan masa 20.04 saat, memecahkan rekod yang dipegang Peter Norman sejak Sukan Olimpik 1968.
Anak kepada pasangan pendatang dari Sudan Selatan tersebut juga mencuri tumpuan dalam acara 100 meter apabila mencatat masa 10.04 saat dalam pusingan awal, dengan bantuan angin +3.4, menjadikannya masa keempat terpantas dalam sejarah olahraga Australia.
Persembahan cemerlang Gout itu turut tular di laman media sosial sekali gus menarik perhatian ramai warga maya di seluruh dunia.
Tambah mengujakan, Bolt sendiri memuat naik mesej penghargaan di Instagram.
"Dia kelihatan seperti saya ketika muda," kata Bolt.
Kejayaan Gout itu sekali gus menjadikan namanya meningkat naik dalam arena olahraga Australia.
Namun, Gout mengakui dia terkesan dengan sambutan luar biasa yang diterimanya sejak kejohanan tersebut.
"Sejujurnya, ia sangat gila dan respons dari orang ramai itu sangat terasa.
"Mungkin akan terasa dalam beberapa bulan lagi, tetapi respons ini memang di luar jangkaan.
"Ada beberapa orang yang menghubungi saya, tetapi Usain Bolt, itu yang paling mengejutkan, pastinya," katanya kepada media Australia.
Selepas mencipta kejayaan berkenaan, Gout bertemu dengan eksekutif Adidas di Melbourne pada Selasa dan secara rasmi menandatangani kontrak dengan jenama sukan antarabangsa itu.
Januari depan, Gout dijangka berlepas ke Florida untuk menyertai kem latihan bersama juara Olimpik 100 meter, Noah Lyles, di bawah anjuran Adidas.
Dengan Sukan Olimpik 2032 bakal diadakan di Brisbane, atlet muda itu dilihat sebagai prospek cerah bagi olahraga Australia.
Susulan itu, pihak pengurusan Olahraga Australia menekankan keperluan untuk melindungi Gout daripada tekanan berlebihan dan memastikan dia dapat menikmati zaman remajanya.
"Dia sangat muda dan anda boleh bayangkan pada masa ini dia akan menarik perhatian daripada setiap sukan, setiap ejen, setiap syarikat komersial. Semua akan mengejarnya sedangkan dia masih muda," kata Presiden Olahraga Australia, Jane Fleming, kepada stesen radio Sydney, 2GB.
"Sebahagian daripada tanggungjawab kami sebagai sebuah organisasi adalah untuk memastikan anak muda ini dapat mencapai usia 30-an dalam keadaan fizikal dan mental yang baik.
"Jadi, kami perlu cuba mengawal situasi ini, memastikan dia kembali ke sekolah, menamatkan persekolahan, berseronok dengan rakan-rakannya, sambil terus memajukan kariernya secara berperingkat," tambah Fleming.
Bagi Gout, cabaran terbesar selepas kejayaan ini bukan hanya di trek larian tetapi juga mengekalkan keseimbangan antara populariti yang melonjak dan kehidupan remajanya. — Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan