FMT Reporters
Video tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki mengheret kucing peliharaannya di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.
PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mendenda RM10,000 seorang lelaki yang dilihat dalam satu video tular mengheret seekor kucing dengan tali diikat pada leher.
Hakim Norina Zainol Abidin menjatuhkan hukuman denda itu ke atas Goh Kuan Pan, 43, yang mengaku bersalah atas tuduhan membenarkan penderitaan tidak perlu terhadap kucing tersebut, lapor Berita Harian.
Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu di koridor sebuah kondominium di Jalan Klang Lama, antara jam 11.17 malam hingga 11.42 malam pada 21 Nov lalu.
Tuduhan mengikut Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang 1953 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 44(1) Akta Binatang (pindaan) 2013 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kuala Lumpur, Syed Hilfi Syed Ali memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Gabriel Susayan yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.
Mahkamah memerintahkan kucing itu diletakkan bawah jagaan selamat sehingga menerima permohonan semula oleh Goh atau penjaga baharu yang dipersetujui.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan