"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hubungan tegang dengan ‘panglima’ Umno sebab Tengku Zafrul mahu bawa diri

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Tengku Zafrul Aziz mungkin terdorong untuk mengintai masa depan dengan PKR disebabkan hubungan tegang dengan ‘panglima-panglima’ dalam Umno, berpunca daripada pengelutan kuasa dan rasa tidak puas hati dalam parti, menurut sumber.

Sumber yang minta tidak dinamakan itu mendakwa pemimpin Umno tertentu berkomplot untuk mengetepikan menteri pelaburan, perdagangan dan industri susulan prestasi buruk parti itu pada PRN 2023.

Umno, yang merupakan tunjang Barisan Nasional, sekadar menang 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi, bersamaan kadar kejayaan kurang 18%.

Pada April, Tengku Zafrul meletak jawatan sebagai bendahari kerana tidak dapat melakukan sebarang penambahbaikan untuk kebangkitan Umno di Selangor.

Ketika itu, beliau mengkritik Umno Selangor atas pelaksanaan rancangan kebangkitan parti yang hambar, susulan prestasi buruk pada PRN.

“Jadi saya tak terkejut jika ‘warlord’ (panglima) Umno membuat keputusan untuk menyingkirnya. Tengku Zafrul menyedari perkara ini selepas PRN,” sumber beritahu FMT.

Sumber turut mendedahkan Tengku Zafrul, yang juga ahli majlis kerja tertinggi Umno, sedia bertanding PRN Selangor, namun perancangan itu terganggu selepas pemimpin tertentu dalam parti menyuarakan rasa tidak puas hati dengannya.

Sumber itu berkata wujud juga kebimbangan bahawa Tengku Zafrul, yang dianggap anggota penting dalam pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, akan terlalu menyerlah dan akhirnya menggantikan seorang pemimpin Umno tertentu.

“Ini sifat lazim ‘warlord’ Umno. Mereka tidak menyukai sesiapa yang mampu lebih menyerlah daripada mereka.”

Belot atau bakat?

Menyifatkan Tengku Zafrul sebagai tokoh berbakat yang mempunyai pertalian rapat dengan institusi diraja, sumber berkata kekuatannya itu mungkin memburukkan lagi rasa tidak senang hati terhadapnya.

“Ini menjadikannya sasaran mudah puak-puak tertentu.”

Sumber berkata ada kemungkinan Tengku Zafrul akan dikritik memandangkan perbincangan beliau dengan PKR diketahui umum, malah beberapa pemimpin Umno sudah pun menggelar beliau ‘pembelot’.

“Bagaimanapun, semua orang tahu apa yang sebenarnya berlaku.”

Perkara ini tersingkap di sebalik spekulasi mendakwa Tengku Zafrul merancang untuk meninggalkan Umno dan menyertai PKR.

Dalam kenyataan pada Ahad, beliau mengesahkan ada perbincangan dengan PKR untuk menyertai parti itu, namun belum ada keputusan yang dibuat.

Beliau menafikan terlibat dalam perbincangan berhubung jawatan di peringkat negeri atau PRK, susulan desas-desus beliau akan jadi menteri besar jika berhijrah ke PKR.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pemuda Akmal Salleh menyuarakan bantahan terhadap ‘lompat parti’ dalam kerajaan perpaduan.

Tiada ulasan: