Nazdy Harun
am@hmetro.com.my
TAJUDIN (berbaju hijau, tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Marang. FOTO Nazdy Harun
Marang: Pengetua sebuah sekolah menengah di daerah ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan berkomunikasi secara seksual dan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang pelajar perempuan, Julai lalu.
Tertuduh, Mohd Tajudin Mokhtar, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zur Azureen Zainalkefli.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa berkomunikasi secara seksual dengan mangsa yang berusia 16 tahun di pejabatnya di sekolah berkenaan pada 2 Julai lalu, 8.30 pagi.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 (Akta 792) yang boleh dihukum mengikut seksyen sama.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal kepada mangsa di tempat, tarikh dan waktu yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(e) AKSTKK 2017 (Akta 792).
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maisarah Abd Razak manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Hayyi Salim.
Mahkamah menetapkan 14 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.
Zur Azureen membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan dua penjamin dan tertuduh membayar jaminan itu.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan, tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan