FMT Reporters
PETALING JAYA: Ratusan warga asing ditahan kerana disyaki menggunakan kad pengenalan palsu untuk bekerja di sebuah kilang di Senai, Johor.
Serbuan ke atas perusahaan itu dibuat pada 19 Dis, susulan tangkapan empat warga asing atas kesalahan sama beberapa hari sebelum itu.
Pengarah Imigresen Johor Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata pihaknya menangkap antaranya 74 lelaki dan 54 wanita warga asing, dalam Ops Mahir bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Johor.
“Dalam serbuan ini, seramai 292 warga asing dan tempatan diperiksa dan 129 individu telah ditahan.
“Hasil siasatan awal mendapati, sejumlah warga asing tersebut menggunakan dokumen pengenalan diri warga tempatan untuk memohon kerja,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, semua ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Tahanan warga asing ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Pekan Nenas untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Rusdi berkata, pihaknya komited terus memerangi dan tidak akan berkompromi dengan majikan, pemilik premis, dan individu menggaji serta melindungi pendatang asing tanpa izin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan