Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
KEADAAN rumah mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Kota Kinabalu: Seorang lelaki parah melecur ketika cuba menyelamatkan diri selepas rumah flat didiaminya terbakar dalam kejadian di Taman Nelly, Kolombong, di sini, tengah malam tadi.
Mangsa Woo Chee Ke, 54, melecur hampir keseluruhan badan dan kini menerima rawatan lanjut di Hospital Queen Elizabeth II.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.49 tengah malam.
Katanya, sepasukan enam anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba, anggota bertugas mendapati sebuah rumah flat di tingkat dua terbakar 20 peratus.
"Pasukan bomba kemudian bertindak menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran, dua pancutan dengan sumber air dari tangki jentera," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Agustavia berkata, terdapat seorang mangsa lelaki terbabit mengalami parah melecur 80 peratus ketika cuba menyelamatkan diri daripada kebakaran.
"Mangsa seterusnya dihantar ke HQE II untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud, operasi ditamatkan pada 1.42 pagi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan