"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penjajaran politik baharu: Bila Zahid dapat ‘offer’

Mohsin Abdullah

Pendedahan Zahid Hamidi berhubung tawaran bentuk penjajaran baharu dengan PN cetus pelbagai reaksi.

Ini kisah lama yang tidak terlalu lama dan jika diambil kira perkembangan terbaharu ia wajar diberi perhatian.

Bermula dengan imbas kembali 24 Nov lalu, apabila Pengerusi BN Zahid Hamidi mendedahkan ada Ahli Parlimen pembangkang memujuk beliau membawa BN keluar daripada kerajaan perpaduan sekali gus membentuk satu penjajaran atau ‘alignment’ politik baharu.

Menurut cerita Zahid, beliau ditawarkan jawatan perdana menteri jika berbuat demikian. Kata Zahid beliau menolak. Beliau bagaimanapun tidak menamakan siapa yang datang berjumpa dan membuat tawaran.

Seperti dijangka itu mencetus reaksi pelbagai pihak. Ada yang puji kesetiaan Zahid terhadap kerajaan dengan menolak tawaran. Ada melihatnya gimik Zahid nak tunjuk hero. Ada yang ketawa seperti bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin.

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari pula mendakwa pendedahan itu ditujukan kepada PMX (Anwar Ibrahim) supaya ‘ambil perhatian. Jujur saya ketika itu cenderung untuk bersependapat.

Bertanya saya kepada diri sendiri mungkin kah itu mesej Zahid kepada Anwar dan kerajaan perpaduan keseluruhannya agar ‘jangan main main dengan kami? ‘Kami’ disini merujuk Zahid dan Umno yang dipimpinnya.

Jika menggunakan analogi kisah cinta maka ini bagai seorang yang dalam satu relationship memberi isyarat kepada kekasihnya supaya jaga dia baik-baik kerana ada kekasih lain yang menunggu dan sedia menerimanya.

Namun beberapa hari kemudian tampil Hamzah Zainudin, Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional yang juga timbalan presiden Bersatu mengesahkan memang ada seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berjumpa Zahid dan mencadangkan Umno (BN?) keluar daripada kerajaan. Jelas Zahid bercakap benar. Bukan gimik.

Bagaimanapun menurut Hamzah perbincangan itu hanyalah antara ‘dua sahabat lama’ tanpa mandat daripada kepimpinan PN. Ahli Parlimen PN yang membuat cadangan rupanya Shahidan Kassim yang mewakili Arau.

Diulangi– Shahidan kata Hamzah tidak mempunyai mandat untuk membuat sebarang tawaran kepada parti lain menyertai gabungan PN.

“Tidak ada mandat untuk beliau (Shahidan) bercakap dengan presiden Umno (ajak masuk PN). Cuma sebagai kawan tidak salah bercakap, mencadangkan sesuatu yang (perlu) dilakukan ia rasa lebih baik”, kata Hamzah.

Maksudnya Umno masuk PN sesuatu yang perlu dilakukan kerana ia lebih baik? Adakah itu maksud Hamzah? Apa pun sememangnya Shahidan tidak ada mandat untuk buat apa apa offer dan beliau melontar cadangan sebagai ‘seorang kawan lama’ Zahid. Benar mereka berdua kawan lama. Sejak semasa Shahidan duduk dalam Umno suatu masa dahulu. Mungkin juga sebelum itu.

Namun terpanggil saya untuk bertanya andainya Zahid mahu menerima cadangan Shahidan tidakkah nanti si kawan lama akan membawa persetujuan Zahid kepada pucuk pimpinan? Ertinya apa yang bermula atas nama ‘tidak rasmi’ akan akhirnya menjadi rasmi. Sembang kosong bertukar jadi sembang berisi. Bukan begitu?

Oh hampir terlupa nak cakap. Menurut Zahid pertemuan bukan berlangsung dengan Shahidan sahaja. Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan perincian lanjut perkara itu. Apa pun saya menyimpulkan PN atau ada pada kalangan pemimpinnya berminat merampas kuasa memerintah negara melalui jalan pintas.

Tak mahu susah payah melalui proses pilihan raya. Gemar bertindak ala Langkah Sheraton.

Apa pun mengambil kira respon Zahid yang dikatakan menolak cadangan dan pelawaan, Kerajaan perpaduan is not about to fall dengan Langkah Sheraton 2.0.

Bagaimanapun katalah, just for the sake of argument, Umno/BN menerima offer berkenaan dan melangkah keluar. Adakah kerajaan akan tumbang? BN ada 30 Ahli Parlimen.

Keluar bererti kerajaan kurang 30 Ahli Parlimen. Namun masih ada 115 ahli dalam Dewan Rakyat yakni melebihi majoriti mudah 112. Ini belum kira dua ahli bebas dan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada PMX.

Pada pihak pembangkang PN ada 68 Ahli Parlimen dan Muda ada satu. Oleh kerana Muda bersendirian maka perkiraannya ialah 68 (PN) campur 30(BN). Do the math.

Kerajaan perpaduan boleh terus memerintah dengan tenang dan selamat sehingga pilihan raya umum akan datang yang mesti diadakan selewat lewatnya 2027.

Tempoh yang ada wajar digunakan untuk membuat reformasi yang masih tertangguh. Yang sudah dilaksana, Alhamdulillah. Yang belum percepatkan usaha melaksanakannya.

Beralih perkembangan terbaharu yang saya katakan di awal penulisan ini. Ada eloknya kerajaan meneliti peringatan bekas timbalan menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan pemimpin Amanah Hanipa Maidin bahawa pelantikan Musa Aman sebagai gabenor Sabah akan menjadi cabaran besar kepada PMX apabila beliau mahu menyakinkan pengundi pada PRU mendatang.

Jabatan Peguam Negara tempoh hari menarik balik rayuannya berkaitan pembebasan Zahid daripada pertuduhan rasuah kes berhubung Sistem Visa Luar Negara.

Dan semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Rosmah Mansor, isteri Najib Razak daripada 17 tuduhan pengubahan wang haram dan mengelak cukai terhadapnya.

Mahkamah ada sebab dan alasan dalam membuat keputusan. Sememangnya keputusan mahkamah mesti dhormati. Malah ramai yang akur.

Namun dalam akur ada yang tidak merasa senang. Dan wajar atau tidak, adil atau sebaliknya kerajaan dipersalahkan. Ini kerajaan Madani mesti beri perhatian.

Tiada ulasan: