Afiezy Azaman
KUALA LUMPUR: Seorang pelajar lelaki Tahun enam maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di sebuah sekolah di Serdang, Selangor, pada Rabu.
Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 6.30 petang.
"Seorang wanita tempatan berusia 36 tahun membuat laporan polis berkaitan pihaknya menerima pesakit iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik di sebuah sekolah di kawasan Serdang sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6.50 petang," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan polis masih menunggu laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat mangsa bagi mengenal pasti punca kejadian.
"Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),"katanya.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi serta mengeluarkan sebarang komen yang boleh mengganggu siasatan," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan