Juwan Riduan
bhnews@bh.com.my
KOTA KINABALU: Tiga wanita antara sembilan ditahan polis ketika leka berhibur dalam pesta dadah di sebuah kondominium di sini.
Mereka bersama enam lelaki, semua lingkungan 20-an ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang menyerbu kediaman berkenaan, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata ketika ditahan, enam lelaki dan tiga remaja perempuan itu khayal di bawah pengaruh dadah, termasuk syabu.
"Hasil ujian air kencing menunjukkan semua mereka positif empat jenis dadah, termasuk methamphetamine," katanya pada sidang media di IPD Kota Kinabalu, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati mereka yang ditahan baru berkenalan sebelum mengadakan pesta dadah di kondominium yang disewa.
"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A(2) akta sama.
"Sembilan individu berkenaan adalah antara 23 pesalah dadah yang ditahan BSJN IPD Kota Kinabalu dalam operasi harian mengekang penyalahgunaan dadah di daerah ini," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Kasim berkata, IPD Kota Kinabalu menggerakkan keseluruhan 25 pasukan petugas khas bagi melaksanakan operasi sepanjang perayaan Krismas.
"Operasi dimulakan sejak awal bulan ini sehingga ambang tahun baharu 2025 serta Karnival Jom Heboh pada penghujung bulan ini dalam memastikan keselamatan orang ramai sentiasa terjamin sepanjang tempoh berkenaan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan