"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dakwaan profesor kongsi gambar bogel: Mangsa digesa lapor polis

Malaysiakini 

Sebuah persatuan mahasiswa Universiti Malaya (UM) meminta pelajar yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang profesor di universiti itu supaya tampil membuat laporan polis.

Persatuan NewGen UM turut menggesa universiti itu membuat siasatan menyeluruh, telus dan adil tanpa menyembunyikan kes berkenaan.

"Kami menyeru semua mangsa gangguan seksual untuk tampil dengan berani dan membuat laporan mengenai insiden ini.

“NewGen UM akan memberikan sokongan penuh kepada setiap mangsa, memperjuangkan siasatan menyeluruh dan persekitaran pembelajaran yang selamat untuk mahasiswa dan mahasiswi UM," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu semalam, Kelab Feminisme UM (UMFC) menggesa pengurusan UM memperketat polisi gangguan seksual setelah seorang profesor didakwa berkongsi gambar bogelnya dengan pelajar.

UMFC mendakwa gambar itu turut dicetak dan dipamer di sekitar kampus sebagai tanda amaran buat pelajar lain tetapi diturunkan tidak lama selepas itu.

Kelab itu juga mendakwa beberapa profesor lain cuba melindungi profesor itu.

Mengulas lanjut, NewGen UM turut mencadangkan agar Universiti Malaya menggantung tugas dan menghentikan semua tugas pengajaran dan pentadbiran profesor terbabit sepanjang tempoh siasatan untuk memastikan keselamatan pelajar.

"Universiti mesti melaksanakan peraturan anti-gangguan seksual dengan tegas dan bukannya memandang remeh, bagi mengelakkan dasar tersebut menjadi sia-sia," tambahnya.

Menurutnya, kes gangguan seksual di kampus universiti bukanlah sesuatu yang asing di UM mahupun di universiti awam seluruh negara.

"Ketidakseimbangan kuasa di kampus, yang meletakkan pelajar dalam kedudukan lemah apabila berhadapan dengan profesor atau pentadbir antara punca isu ini masih berlarutan.

"Selain itu, kekurangan ketelusan dan cubaan sembunyi kes dalam menangani kes sedemikian, menyebabkan pesalah laku terlepas daripada hukuman manakala mangsa tidak mendapat perlindungan yang sewajarnya," katanya.

Katanya, sekiranya pihak universiti terus mengabaikan isu ini, NewGen UM akan mempertimbangkan tindakan selanjutnya, termasuk mengadakan sidang media dan mengadakan demonstrasi, bagi mempertahankan hak mahasiswa.

Tiada ulasan: