"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Teman wanita rupa-rupanya lelaki!

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perasaan teruja seorang juruteknik kilang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama teman wanita di kampung halaman bertukar menjadi mimpi ngeri apabila teman wanitanya adalah lelaki.

Menceritakan kejadian itu, Nur Maya Syuhada Rosley, 33, berkata, adiknya, dikenali sebagai Firdaus, 23, berkenalan dengan seorang 'wanita' di sebuah aplikasi temu janji sejak tiga minggu lalu.

"Menurut adik, wanita itu berusia 25 tahun dan berasal dari Sabah. Wanita berkenaan memaklumkan dia anak yatim dan baru sahaja memeluk Islam serta belajar di Dubai.

"Sepanjang tempoh perkenalan mereka, adik sering menghubungi wanita itu termasuk membuat panggilan video. Namun, adik maklumkan tidak melihat wajah teman wanitanya itu kerana dia memakai purdah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nur Maya berkata, adiknya memaklumkan teman wanitanya mahu beraya bersama mereka sekeluarga kerana dia mendakwa sudah tidak mempunyai ahli keluarga lain.

"Dengan persetujuan ibu, adik menjemputnya datang ke rumah kami di Pontian, Johor. Pada mulanya, wanita itu memaklumkan mahu ke kampung pada 28 atau 30 Mac ini. Namun tiba-tiba, dia maklumkan mahu datang 26 Mac (Khamis lalu).

"Wanita itu maklumkan dia menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Pontian dan dijemput adik di stesen bas kira-kira jam 3 petang, hari kejadian," katanya.

Menurutnya, wanita itu ada menghubungi adik perempuannya bernama Izzati sehari sebelum tiba di Pontian untuk memaklumkan dirinya agak gemuk, lasak serta lagak seperti tomboi.

"Sebaik tiba, ibu membawa wanita itu ke bazar Ramadan. Ibu beritahu dia yang membayar semua makanan dibeli wanita itu yang tidak dapat mengimbas kod QR untuk pembayaran.

"Kira-kira jam 10 malam, ibu dan adik memaklumkan mereka mengantuk dan mahu tidur tetapi wanita itu tetap duduk di ruang tamu sambil bermain telefon dengan masih memakai purdah.

"Wanita itu kemudian tidur di sebelah ibu dengan memakai purdah dan memberi alasan sering tidur begitu (tidur dengan purdah)," katanya.

Beberapa minit kemudian, ibu mengambil gambar wanita itu yang sedang tidur kerana terkejut melihat wajahnya yang kelihatan seperti lelaki.

Katanya, Izzati kemudian menyelongkar barang wanita itu dan menemui kad pengenalan seorang lelaki menyebabkan mereka terus menghubungi pihak polis.

"Ketika didesak pihak polis mengenai identitinya, lelaki itu memaklumkan dia adalah khunsa. Pihak polis kemudian membawa lelaki terbabit keluar dari rumah kami.

"Sejujurnya, saya sendiri tidak pasti motif dia menyamar sebagai wanita. Saya bersyukur kerana tidak ada sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Nur Maya berkata, dia sama sekali tidak menjangkakan perkongsian mengenai kejadian itu di media sosial menjadi tular memandangkan tujuannya berbuat demikian hanya untuk memberi kesedaran kepada orang ramai.

"Ketika kejadian itu berlaku, kami sekeluarga rasa cemas dan takut kerana bimbang lelaki berkenaan akan buat jenayah seperti samun. Alhamdulillah, kami sedar awal dalam keadaan dia masih tidur.

"Malah, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian juga bertindak pantas. Selepas selesai semua urusan, kami rasa kasihan pula pada adik yang kena tipu dengan 'teman wanitanya'," katanya.

Tiada ulasan: