"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengkid mengaku salah lakukan amang seksual fizikal terhadap 'teman wanita'

Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my
Nur Farisha Syahaniey Muhamad Shukur, 20 tahun mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan sejak pertengahan lalu di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru. FOTO MUHAMMAD NAJMI NOR’AZAM
Nur Farisha Syahaniey Muhamad Shukur, 20 tahun mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan sejak pertengahan tahun lalu di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru. FOTO MUHAMMAD NAJMI NOR’AZAM
Johor Bahru: Seorang wanita berperwatakan lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan yang juga 'teman wanitanya', sejak pertengahan tahun lalu.

Tertuduh, Nur Farisha Syahaniey Muhamad Shukur, 20, mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok.

Berdasarkan kedua-dua kertas pertuduhan, Nur Farisha Syahaniey didakwa melakukan perbuatan itu bagi maksud seksual terhadap remaja berusia 13 tahun tujuh bulan ketika kejadian, pada pertengahan 2024 dan Februari lalu di Jalan 2/1, Taman PGPF, Felda Sungai Sibol, Kulai.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Fadilah Johanuddin pada mulanya tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan di bawah seksyen berkenaan adalah tidak boleh dijamin.

Namun, apabila ditanya hakim jika mahkamah mahu memberikan jaminan, berapa jumlah yang ingin dicadangkan pihak pendakwaan, Nor Fadilah mencadangkan RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan turut mencadangkan syarat tambahan, tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, lapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan pasport antarabangsa hendaklah diserahkan kepada mahkamah sekiranya ada.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian memohon jaminan lebih rendah antara RM2,000 hingga RM5,000 atas alasan tidak mampu membayar jaminan tinggi.

"Saya perlu menjaga adik-adik saya yang semuanya masih bersekolah. Keluarga saya ada masalah, jadi saya kena bantu keluarga. Sebelum ditahan, saya bekerja sebagai operator kilang dengan gaji pokok RM1,500," katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM11,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan berserta tiga syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 28 April depan bagi fakta dan hukuman.

Tiada ulasan: