"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menantu licik tukar kunci, jual rumah orang

Agensi
DALAM tempoh kira-kira lima tahun, Wang menipu mangsa termasuk ibu saudaranya, kakak iparnya, dan rakan dengan jumlah 24 juta yuan (kira-kira RM14.7 juta). FOTO Douyin
DALAM tempoh kira-kira lima tahun, Wang menipu mangsa termasuk ibu saudaranya, kakak iparnya, dan rakan dengan jumlah 24 juta yuan (kira-kira RM14.7 juta). FOTO Douyin
Beijing: Seorang wanita di China menjadi dalang skim penipuan dengan menukar kunci 80 flat, memalsukan dokumen kediaman itu dan kemudian menjualnya secara tidak sah.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, wanita itu juga tergamak menjadikan rakan dan ahli keluarga sebagai mangsanya sehingga mengaut 24 juta yuan (kira-kira RM14.7 juta) dalam tempoh kira-kira lima tahun.

Suspek dikenali Wang Wei berasal dari wilayah Gansu di utara-tengah China dan dilaporkan berusia awal 30-an, menurut majalah berita Nanfengchuang.

Selepas perkahwinan Wang dengan lelaki bernama Cheng pada 2017, dia dan pasangannya mengumpul hutang kad kredit yang banyak. Ia disebabkan tabiat Wang yang boros berbelanja.

Dalam usaha untuk meringankan beban kewangan ini, bapa kepada Cheng memperoleh pinjaman sebanyak 450,000 yuan (kira-kira RM274,805) dengan menggunakan rumahnya sebagai cagaran.

Bagi membalas budi bapanya, Cheng mengamalkan gaya hidup berjimat cermat selama beberapa tahun.

Namun, dia tidak tahu bahawa isterinya menjadi dalang penipuan yang menyasarkan ahli keluarga.

Dalam tempoh itu, Wang mendapat tahu mengenai sebuah syarikat tempatan yang menjalankan rancangan penempatan semula untuk penduduk, namun unit di bangunan kediaman untuk tujuan itu masih belum diduduki.

Hasil bantuan Photoshop, wanita itu memalsukan sijil harta dan pelan lantai, memperdaya tukang kunci dengan mengemukakan dokumen palsu.

Seorang tukang kunci menceritakan bahawa setiap kali Wang menghubunginya, dia akan mengiringi wanita itu menaiki tangga di dalam bangunan berkenaan, jauh dari kamera litar tertutup (CCTV).

"Dia mempamerkan dokumen itu, yang didakwanya membuktikan pemilikan harta itu, jadi saya tiada sebab untuk meraguinya," katanya.

Demi mengelak syak wasangka, Wang menggunakan pelbagai tukang kunci, masing-masing untuk menggantikan kunci di beberapa unit flat.

Sebaik sahaja dia memiliki semua kunci, Wang menjual kediaman itu pada harga yang jauh rendah.

Dia menawarkan rumah pangsa bernilai 1.1 juta yuan (kira-kira RM671, 746) dengan harga 600,000 yuan (kira-kira RM366,407), setiap satu kepada 42 saudara dan rakan.

Dalam tempoh kira-kira lima tahun, dia menipu mangsa termasuk ibu saudaranya, kakak iparnya, dan rakan dengan jumlah 24 juta yuan (kira-kira RM14.7 juta).

Namun, helah wanita itu akhirnya terbongkar dan dan dia kini berdepan hukuman penjara seumur hidup.

Sehingga artikel ini diterbitkan SCMP, pihak berkuasa masih cuba mendapatkan semula wang yang terbabit dalam penipuan ini dan setakat ini sudah merampas aset bernilai 8 juta yuan (kira-kira RM4.88 juta).

Tiada ulasan: