"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: 'Bunyi dentuman kuat itu rupanya anak terjatuh dalam perigi 10 meter...'

Nor Amalina Alias
Tuan Hasnah dan Shahrul Nizam menunjukkan perigi yang sudah ditutup papan sepenuhnya. NSTP/Nor Amalina Alias
Tuan Hasnah dan Shahrul Nizam menunjukkan perigi yang sudah ditutup papan sepenuhnya. NSTP/Nor Amalina Alias
BACHOK: "Saya panik apabila bunyi dentuman kuat yang didengari itu rupanya anak bongsu yang terjatuh dalam perigi sedalam 10 meter, tetapi mujurlah ketika itu paras air hanya setakat dadanya iaitu kira-kira setengah meter saja," kata Tuan Hasnah Tuan Lah, 52, dari Kampung Seneng, Jelawat, di sini.

Beliau berkata, perigi berkenaan memang berada dalam kawasan dapur di rumahnya dan sering digunakan untuk urusan harian, tetapi tidak menyangka anaknya, Shahrul Nizam Majuddin, 8, memanjat kayu reput yang dijadikan penutup perigi itu yang menyebabkan dia terjatuh dalam perigi gelap itu, kelmarin.

"Perigi itu memang ada dalam rumah dan di atasnya diletakkan kayu penutup. Malangnya, ketika Shahrul Nizam memijak kayu penutup itu, ia reput dan patah menyebabkan dia terjatuh dalam perigi sedalam 10 meter.

"Saya yang terkejut mendengar dentuman bunyi kuat terus bergegas ke dapur mencari anak dan panik melihat dia ada di dasar pergi yang airnya sedalam kira-kira setengah meter sambil menjerit menangis.

"Luluh hati melihatnya, lalu saya kemudian berlari meminta bantuan penduduk kampung yang berusaha mengeluarkannya segera dari perigi itu menggunakan tangga," katanya kepada BH.

Mengulas kejadian itu, Tuan Hasnah berkata, hanya dia dan Shahrul Nizam berada di rumah manakala suami, Majuddin Mohd, 39 bekerja.

"Saya bersyukur anak tidak cedera dalam kejadian itu. Saya juga berterima kasih kepada pasukan bomba yang yang datang membantu tetapi ketika itu, anak sudah berjaya dikeluarkan dari perigi," katanya,

Tiada ulasan: