FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) didakwa di Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas pertuduhan menyimpan lebih 70 gambar dan video lucah kanak-kanak yang dimuat turun menerusi media sosial.
Tertuduh, Mohd Azmeer Ithnin, 35, yang juga OKU lembam bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor, menuru Berita Harian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didapati memiliki bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak iaitu 79 keping gambar dan satu video dalam telefon bimbitnya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumahnya di Segamat pada 5.45 petang, 19 Mac lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan dilakukan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dengan penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Berdasarkan laporan dibuat pada 6 Februari lalu, Google melaporkan kepada Pusat Kebangsaan bagi Kanak-Kanak Hilang dan Dieksploitasi (NCMEC) yang berpangkalan di Washington, Amerika Syarikat (AS) selepas berjaya mengesan satu pautan digunakan untuk memuat turun bahan lucah kanak-kanak.
NCMEC kemudiannya merujuk kepada polis Bukit Aman pada 13 Februari untuk tindakan susulan termasuk menyiasat individu menggunakan pautan terbabit.
Polis menyerbu rumah tertuduh dengan pemeriksaan dalam telefon bimbitnya mendapati terdapat banyak bahan lucah dalam simpanannya.
Semakan terhadap nombor telefon bimbit yang digunakan tertuduh didapati didaftar atas nama lelaki warga Pakistan.
Timbalan Pendakwa Raya Diyana Najihah Muhamed Fauzi mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Rohana Ramli.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM15,000 serta syarat tambahan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan mengenakan syarat dia melapor diri di balai polis berhampiran.
Kes disebut semula pada 28 Mei ini untuk serahan dokumen termasuk laporan forensik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan