Bernama
KUALA LUMPUR: Bekas kontraktor dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah membunuh isterinya dengan cara menekup mangsa menggunakan selimut di kediaman mereka, empat tahun lalu.
Hakim K Muniandy menjatuhkan hukuman itu ke atas Chuah Chin Hoe, 51, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan, selain memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap iaitu 11 Mei 2021.
“Selepas mempertimbangkan dengan teliti hujahan daripada peguam tertuduh, faktor-faktor pemberatan yang dikemukakan oleh timbalan pendakwa raya, pernyataan impak mangsa daripada ahli keluarga kedua-dua si mati, yang seimbang dengan pelakuan jenayah serta fakta dan keadaan kes ini, mahkamah ini menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun ke atas tertuduh,” kata hakim itu.
Chuah didakwa membunuh Lau Bee Hong yang ketika kejadian berusia 46 tahun, di sebuah unit kondominium di Jalan Genting Klang, Setapak, antara 2.30 pagi dan 9.30 pagi, 9 Mei 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Terdahulu, peguam Carmen Eu yang mewakili bapa tiga anak itu, memohon hukuman penjara paling minimum selama 30 tahun tanpa dikenakan sebatan, atas alasan anak guamnya berusia lebih 50 tahun dan mengalami masalah tekanan mental berikutan kehilangan isteri dan anak lelaki mereka dalam tempoh masa singkat.
“Tertuduh merupakan suami yang baik dan penyayang dan perbuatan yang dilakukan terhadap isterinya adalah serangan secara spontan dan bukannya sesuatu yang telah dirancangkan. Mohon mahkamah mengambil kira juga fakta bahawa tertuduh tidak dapat menghadiri pengebumian anak keduanya kerana dia berada di penjara.
“Dengan hukuman yang minimum, tertuduh berjanji akan menggunakan peluang kali kedua sebaik mungkin,” kata peguam itu.
Timbalan Pendakwa Raya Zaileen Nadia Zubir memohon hukuman maksimum, mengambil kira faktor tertuduh sebagai seorang suami dan ketua keluarga bertanggungjawab melindungi dan bukan menyakiti isterinya.
“Keterangan dikemukakan di mahkamah tidak menunjukkan sebarang elemen pergaduhan atau provokasi yang membawa kepada pembunuhan ini. Ia bukanlah ‘a crime of passion’, ia jenayah dilakukan dengan niat dan telah dirancang terlebih dahulu.
“Terdapat bukti spesifik menunjukkan mangsa membuat laporan polis kerana bimbang ancaman terhadap dirinya dan bukti ini tidak seharusnya diketepikan dalam menjatuhkan hukuman. Oleh itu saya mohon satu hukuman paling wajar iaitu penjara maksimum selama 40 tahun, jika tidak dikenakan hukuman mati,” katanya.
Pada prosiding, pernyataan kesan terhadap mangsa turut dibacakan di mahkamah oleh kakak dan anak lelaki mangsa dengan dihadiri peguam pemerhati bagi pihak keluarga Phang Soon Mun dan Darren Ee Kin Chung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan