"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kemalangan maut: Lagi puncanya tayar treler menyebabkan 5 kehilangan nyawa

Tragedi menjelang Syawal: Lima maut termasuk tiga beranak, tayar treler pecah masuk laluan bertentangan

Siti Nur Aqilla Omar

Lima orang termasuk tiga sekeluarga maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan, dalam kejadian di Kilometer 58.1 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Sedenak, tengah malam tadi. - Gambar ihsan JBPM Johor

KLUANG: Lima orang termasuk tiga sekeluarga maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan, dalam kejadian di Kilometer 58.1 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Sedenak, malam tadi.

Nahas yang berlaku sekitar jam 11.30 malam itu turut menyebabkan lapan yang lain cedera.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, tiga mangsa yang maut termasuk kanak-kanak perempuan berumur dua tahun, Mariam Nasarudin.

Kesemua mereka meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara ibu bapa kanak-kanak terbabit yang juga pemandu Honda Stepwagon Spada, Nasarudin Pardi, 36 dan Siti Khazira Bani, 35 meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke hospital.

Menurut Bahrin, dua lagi mangsa yang maut ialah pemandu Proton X50, Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23 dan penumpang hadapan lelaki berusia 20 tahun yang belum dikenal pasti identitinya.

Katanya, nahas menjelang Syawal itu membabitkan sebuah Treler, Toyota Camry, Proton X50 dan Honda Stepwagon Spada.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, kejadian berlaku semasa pemandu lori, lelaki tempatan berumur 35 tahun dari arah Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur, ketika tiba di lokasi kejadian, tayar hadapan kanan telah pecah dan hilang kawalan.

"Ia menyebabkan treler terbabit hilang kawalan dan bergesel dengan Toyota Camry yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun bersama tiga penumpang di laluan sama.

"Kemudian treler tersebut telah masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan Proton X50 serta Honda Stepwagon Spada yang dinaiki enam beranak dalam perjalanan menghala ke Johor Bahru.

"Akibat kemalangan itu, Stepwagon Spada telah terbakar keseluruhan, namun pemandu dan penumpang sempat keluar dari kenderaan sebelum api merebak," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Bahrin lagi, lima mangsa yang maut disebabkan kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Manakala lapan mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Enche Besar Hajah Khalsom, Kuang untuk rawatan.

"Pemandu treler ditahan untuk siasatan, bagaimanapun tangkapan bebas dadah dan tiada rekod jenayah lampau.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,"katanya.

Tiada ulasan: