Agensi

KANAK-KANAK hilang sejak 21 Mac lalu ditemui dalam keadaan selamat. FOTO Agensi
hmetro.com.my
Beijing: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di selatan China yang memancing solo terselamat selepas hilang apabila kayak dinaikinya ditiup angin kencang hingga membawanya jauh daripada perkampungannya.
Portal The Straits Times memetik media tempatan melaporkan, kanak-kanak itu keluar memancing sotong di atas kayak di sepanjang pantai perkampungan Chiling di selatan Hainan.
Dia dilaporkan hilang oleh keluarganya kira-kira jam 8.30 malam pada 21 Mac lalu.
Seorang kapten bot nelayan yang sedang belayar dekat Sanya, lebih sembilan batu nautika di barat pantai Chiling, kebetulan melihat kanak-kanak lelaki itu dalam kayak hijaunya meminta bantuan, lapor Jimu News.
Anak kapal yang menaiki bot itu menyelamatkan kanak-kanak lelaki yang ditemui dalam keadaan kulitnya yang kemerahan kerana terdedah dengan matahari, kata kapten.
Kanak-kanak itu tidak mempunyai bekalan makanan dan minuman serta berkongsi pengalaman ngerinya selepas diberi makan sedikit roti dan susu.
Katanya, dia tertidur ketika memancing berhampiran kampungnya.
Ketika dia dihanyutkan ombak pada waktu malam, dia melalui beberapa bot namun jeritannya tenggelam dengan bunyi jentera kapal, kata kapten bot itu kepada media tempatan.
Kanak-kanak lelaki itu juga melalui patung Guanyin yang terkenal di Sanya, ketika hanyut ke arah pasang surut ombak di Laut China Selatan.
Ia menyebabkan beberapa nelayan kagum dengan keupayaannya untuk terus bertahan di atas kayaknya tetapi tidak dapat membayangkan apa yang dilaluinya.
Menurut kapten bot, kanak-kanak itu dibawa balik ke pantai dan diserahkan kepada polis yang sudah menunggu di jeti
Penyelamat di Hainan berkata mereka menerima panggilan kecemasan daripada ibu bapa kanak-kanak itu pada kira-kira jam 2 petang pada 22 Mac, tetapi diberitahu kira-kira sejam kemudian dia kembali ke pangkuan keluarganya.
Dia berada dalam keadaan sihat, walaupun sedikit terkejut dengan pengalaman pahit yang dialaminya.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan