Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Pemilik akaun Facebook, Prem Esaan yang memuat naik hantaran berbaur penghinaan terhadap agama Islam ditahan di Johor pada Selasa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, lelaki berusia 57 tahun itu ditahan di Taman Johor Jaya, Johor Bahru pada jam 2.30 petang.
"Polis telah merampas telefon bimbit suspek untuk siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya pada Selasa.
Media tempatan sebelum ini melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan ke atas Prem Esaan berhubung kes memuat naik hantaran berbaur penghinaan terhadap agama Islam.
Laporan diterima polis pada 20 Mac selepas hantaran berkenaan tular di media sosial.
Dalam hantaran itu, pemilik akaun terbabit membuat kenyataan berunsur penghinaan terhadap umat Islam, Allah dan al-Quran.
Terdahulu tular di media sosial beberapa tangkap layar memaparkan hantaran oleh individu berkenaan antaranya menyentuh isu perkauman dan agama malah membuat provokasi berkaitan insiden rusuhan di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman pada 2018. -- Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan