Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my

MIA Qaisara masih dalam keadaan koma selepas terbabit kemalangan. FOTO Ihsan keluarga
Johor Bahru: "Sebahagian tempurung kepala Mia yang pecah sudah dikeluarkan," kata ibu kepada pelajar perempuan tingkatan tiga, Noralisa Mohd Sazali, 37.
Ibu tunggal itu berkata, dia buntu memikirkan nasib malang menimpa anak tunggalnya, Mia Qaisara Abdullah atau Mia, 15, yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Skudai di sini, pada jam 11 malam, 10 Mac lalu.
Menurutnya, Mia Qaisara masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dalam keadaan koma di unit rawatan rapi (ICU) sejak dua minggu lalu.
Katanya, kejadian berlaku ketika Mia Qaisara atau lebih mesra dengan panggilan Mia diajak teman rakan sekolahnya untuk melawat kenalan di HSA.
"Kejadian mungkin berlaku ketika mereka dalam perjalanan ke hospital atau pulang dari hospital, saya difahamkan motosikal dinaiki anak terbabit kemalangan dengan sebuah kereta.
"Saya tidak menyedari Mia diajak oleh rakannya yang hanya mahu menumpang tidur di rumah. Pada jam 12 tengah malam, saya menerima panggilan daripada adik lelaki meminta saya memeriksa sama ada Mia di bilik.
"Terdahulu pada jam 9 malam, rakan sekolahnya ke rumah kami di Jalan Padu, Kampung Seri Padu, Tampoi dan menyatakan mahu menumpang selama dua malam kerana mengalami masalah keluarga.
"Atas dasar simpati, saya dan ibu membenarkan remaja perempuan itu tidur namun malangnya tidak menjangka keputusan kami akhirnya membawa musibah," katanya.
Noralisa berkata, dia dimaklumkan bahawa remaja itu bertindak meminjam motosikal daripada seorang penduduk kampung dengan alasan terdapat urusan kecemasan.
"Dalam sekelip mata, Mia dalam keadaan kritikal di HSA termasuk pecah tempurung kepala di bahagian kanan, urat kaki kiri putus serta mengalami kecederaan di leher dan dada," katanya.
Noralisa berkata, sebahagian tempurung kepala Mia juga terpaksa dikeluarkan dan dijangka akan dipasang semula selepas tempoh tertentu.
Menurutnya, buat masa ini Mia masih bergantung kepada bantuan mesin oksigen dan keluarganya terus berdoa agar Mia cepat sedarkan diri daripada koma.
"Kami amat bimbang melihat keadaannya mahupun memikir masa depannya.
"Kami berharap dia sembuh dalam tempoh terdekat dan boleh kembali bersekolah," katanya.
Norlisa berkata, dia yang hanya bekerja di kilang buntu memikirkan kos pembelian barangan keperluan Mia.
"Buat masa ini dia memerlukan lampin pakai buang dan sekiranya sudah sedarkan diri, mungkin memerlukan susu khas dan barangan lain.
"Saya turut menanggung ibu yang juga berstatus ibu tunggal, Aisha Rosmin berusia 73 tahun," katanya.
Terdahulu keluarga Mia menerima kunjungan daripada Pengerusi Persatuan Permata Baiduri Malaysia Faridah Hamzah.
Faridah menyampaikan sejumlah sumbangan wang tunai kepada Aisha.
Aisha menyatakan, dia amat merindui cucunya dan berharap dapat mengunjunginya.
"Saya tidak dapat melawatnya atas faktor kesihatan, sebelum ini dia memberi jagaan kepada saya ketika ibunya keluar bekerja.
"Semoga Allah memberi kesembuhan kepadanya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan