Pelajar melecur, putus jari akibat main mercun diubah suai
Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my
Jeli: Tindakan tiga pelajar lelaki bermain mercun yang diubah suai di dalam asrama sekolah, di sini, mengundang padah apabila kesemua mereka mengalami kecederaan dan melecur, termasuk putus jari tangan, petang tadi.
Dalam kejadian 4.40 petang itu, ketiga-tiga mangsa berusia 15 hingga 16 tahun dibawa ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Jeli Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, siasatan pihak polis di lokasi mendapati kejadian berlaku sekitar 4.40 petang di dalam sebuah asrama lelaki sekolah agama di sini.
"Ketika kejadian, kesemua mangsa dipercayai mengubah suai mercun dengan memasukkan belerang ke dalam sebuah botol bersama batu kerikil untuk dijadikan mercun.
"Akibat tindakan itu, mangsa mengalami kecederaan dan melecur di beberapa bahagian badan. Seorang daripadanya yang berusia 16 tahun putus jari tangan sebelah kiri.
"Kesemua mangsa sedang menerima rawatan di Bahagian Kecemasan Hospital Jeli," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan sentiasa memantau aktiviti anak dalam menyambut perayaan bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan