Nor Fazlina Abdul Rahim

Pasukan Gerakan Am menggagalkan penyeludupan beras selepas merampas hampir 1.3 tan beras pulut dan beras Siam diseludup dari negara jiran, petang semalam. - Foto PGA
RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas hampir 1.3 tan beras yang diseludup dari negara jiran, petang semalam.
Rampasan menerusi Ops Taring Bravo pada jam 5.15 petang di Kampung Baroh Pial, dekat sini selepas menahan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata suspek cuba melarikan diri dengan memecut laju namun berjaya ditahan.
"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat anggaran 950 kg beras pulut cap Angsa Emas dan 323 kg beras cap Mango serta Serindit ditemui dalam kenderaan itu.
"Bekalan terbabit dipercayai diseludup masuk dari negara jiran melalui pangkalan haram. Pemandu dan penumpang dua lelaki tempatan berusia 34 dan 35 tahun ditahan.
"Anggaran nilai rampasan keseluruhan hampir RM38,000 termasuk kenderaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994," katanya.
Katanya, suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya.
"PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan