"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Video tular Gempa bumi Myanmar: Bangunan di Bangkok runtuh, 43 terperangkap

Sinar Harian

Video tular di media sosial menunjukkan bangunan bertingkat dengan kren di atasnya rebah ke tanah, diselubungi debu tebal, sementara orang ramai menjerit dan berlari menyelamatkan diri. - Gambar/ Agensi

SEBUAH bangunan tinggi yang sedang dalam pembinaan di Bangkok, Thailand runtuh selepas gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud melanda Thailand dan negara jiran, Myanmar, tengah hari Jumaat.

Video tular di media sosial menunjukkan bangunan bertingkat dengan kren di atasnya rebah ke tanah, diselubungi debu tebal, sementara orang ramai menjerit dan berlari menyelamatkan diri.

Salah satu rakaman paling mencemaskan memaparkan sebuah bangunan pencakar langit yang masih dalam pembinaan runtuh sepenuhnya, dipercayai mengakibatkan sekurang-kurangnya 43 individu hilang dalam insiden tersebut

Polis memaklumkan kepada Associated Press (AP) bahawa mereka sedang bertindak di lokasi kejadian berhampiran Pasar Chatuchak, namun belum dapat memastikan jumlah pekerja yang berada di tapak pembinaan ketika runtuhan berlaku.

Gegaran itu disusuli dengan gempa susulan berukuran 6.4 magnitud, menyebabkan penduduk yang dipindahkan di sekitar Bangkok dinasihatkan supaya kekal berada di luar bangunan sebagai langkah berjaga-jaga.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) dan pusat geosains Jerman (GFZ), melaporkan gempa bumi itu berlaku pada kedalaman cetek sekitar 10 kilometer dengan pusat gempa di Myanmar, menurut laporan awal.

Rakaman turut menunjukkan air dari kolam renang di atas bangunan tinggi di Bangkok melimpah keluar, manakala serpihan bangunan jatuh ke jalanan.

Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, memanggil mesyuarat tergempar bagi menilai kesan gempa bumi tersebut.

Lebih 17 juta penduduk tinggal di kawasan metropolitan Bangkok, kebanyakannya menghuni apartmen dan kondominium bertingkat tinggi.

Ketika gegaran berlaku sekitar jam 1.30 petang, loceng amaran berbunyi di beberapa bangunan, menyebabkan penghuni hotel dan kondominium di pusat bandar bergegas turun melalui tangga kecemasan.

Mereka kemudian berkumpul di jalanan, berteduh daripada terik matahari sambil menunggu perkembangan lanjut.

Jabatan Pencegahan Bencana Thailand mengesahkan bahawa gegaran dirasai di hampir semua wilayah di negara itu.

Sementara itu, di Myanmar, pusat gempa terletak kira-kira 50 kilometer ke timur bandar Monywa.

Di ibu negara Naypyitaw, gegaran menyebabkan beberapa tempat ibadat rosak dan runtuh, selain turut menjejaskan beberapa kediaman.

Bagaimanapun, laporan lebih terperinci mengenai kerosakan di Myanmar masih belum diperoleh memandangkan negara itu sedang bergolak dalam perang saudara. - Sinar Harian memetik agensi

Tiada ulasan: