Sinar Harian
Mohd S Vijay (dua dari kiri belakang) bersama keluarganya turut memeluk agama Islam. -Sinar Harian
KOTA BHARU: Mohd S Vijay (dua dari kiri belakang) bersama keluarganya turut memeluk agama Islam.
Pengalaman direman tujuh hari pada 2019 menjadi titik perubahan dalam hidup seorang bekas pemandu lori ini apabila hidayah datang ketika dia melihat seorang tahanan lain mendirikan solat dan mendoakannya tanpa mengenali dirinya.
Mohd S Vijay Supaiah, 43, ditahan di lokap di Kluang, Johor atas kes pukul dan ketika itu tidak pernah terfikir akan memeluk Islam.
Dalam lokap, Mohd S Vijay bertemu seorang lelaki Muslim dari Sungai Buloh yang turut direman selama lima hari.
“Saya lihat dia solat bukan sekadar lima waktu, tetapi lebih daripada itu iaitu solat sunat berulang kali.
“Paling menyentuh hati, dia mendoakan saya walaupun kami tidak mengenali antara satu sama lain dan doa yang lahir dari hati yang ikhlas itu membuatkan saya tersentuh,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Kelantan di Taman Maju di sini pada Isnin.
Selepas dibebaskan, Mohd S Vijay memaklumkan kepada isterinya tentang hasrat untuk memeluk Islam dan isterinya serta anak-anak memberi keizinan.
Namun, perjalanan untuk menerima hidayah sepenuhnya mengambil masa hingga menuntut pengorbanan hijrah dari negeri kelahirannya.
Dia mengenali seorang ustaz yang membimbingnya selama hampir enam bulan sebelum akhirnya bersyahadah di Masjid Muhammadi, di sini pada 2022.
“Isteri saya pada mulanya tidak mahu ikut pindah, tetapi akhirnya dia datang juga.
“Saya naik bas hari Khamis dan sampai pada hari Jumaat, selepas solat Jumaat, saya terus mengucap dua kalimah syahadah.
“Sepuluh hari kemudian, isteri pula memeluk Islam, diikuti kesemua tujuh anak kami manakala anak lelaki terakhir masuk Islam pada Februari lalu, manakala anak bongsu kami lahir dalam Islam,” katanya.
Mengimbau kehidupannya sebelum ini, Mohd S Vijay mengakui dia seorang peminum arak tegar, malah pernah mengambil tiga hingga empat peti minuman keras dalam sehari.
“Kini, kalau teringat masa lalu, saya segera mengadu kepada Allah.
“Sekarang saya hidap sakit jantung, lelah dan buah pinggang juga bermasalah, tetapi saya anggap ini ujian daripada Allah,” katanya yang kini mendapat punca pendapatan sebagai penjual cendol bagi menyara keluarga.
Dia bersyukur kerana Allah menguatkan imannya dan kini dia serta keluarganya berusaha mendalami Islam.
“Saya sentiasa berdoa agar seluruh umat Islam berbaik sesama sendiri dan keluarga saya sentiasa sihat, selamat serta dilindungi Allah sentiasa,” katanya.
Tambahnya, dalam mendalami ilmu agama, ustazah sering datang ke rumah untuk mengajarnya mengaji, manakala anak-anaknya belajar membaca al-Quran di masjid.
Mohd S Vijay juga menunaikan kewajipan rukun Islam ketiga dengan berpuasa di bulan Ramadan.
“Puasa pertama saya tiga tahun lalu sangat mencabar dan hanya dapat 15 hari, tetapi saya tetap berusaha menggantikannya.
“Segala doa yang saya panjatkan kepada Allah, setakat ini semuanya dimakbulkan dan amat bersyukur kerana dipilih untuk menerima hidayah paling berharga ini,” katanya. -Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan