"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita maut selepas hantar anak ke sekolah, motosikal bertembung kereta dipandu guru

Sinar Harian
Keadaan motosikal mangsa dan kereta Myvi dipandu guru wanita terbabit kemalangan maut di Jalan Melaka- Muar pada pagi Isnin. Gambar kecil: Noor Faradhillah
JASIN: Seorang wanita maut selepas menghantar anaknya ke sekolah apabila motosikal yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Melaka- Muar, berhampiran Kolej Komuniti Jasin, Merlimau di sini pada pagi Isnin.

Kejadian yang berlaku jam 8.40 pagi menyebabkan mangsa Noor Faradhillah Muhammad Yusuff, 42, yang dipercayai masih menyusukan anak bongsunya yang baru berusia enam bulan maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, siasatan awal mendapati mangsa dari arah Jalan Muar Lama untuk keluar simpang menuju ke jalan utama Jalan Melaka- Muar sebaik menghantar anaknya ke sekolah.

Menurutnya, namun dalam masa sama sebuah kereta Perodua Myvi dipandu guru wanita berusia 34 tahun dari arah Sungai Rambai menuju Merlimau tidak sempat mengelak.

"Ketika itu motosikal mangsa pada kedudukan yang terlalu dekat lalu berlaku pelanggaran di bahagian kanan motosikal mangsa.

"Impaknya mangsa terjatuh dan cedera di badan serta kaki dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas kesihatan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Tambahnya, mayat mangsa kemudian di bawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ujarnya, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan melalui pegawai penyiasat Inspektor Marwan Shafiq Mohd Latfi di talian 011-11127533.

"Maklumat juga boleh disalurkan kepada kaunter aduan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di talian 06-529 2222 sambungan 260,” ujarnya lagi. -Sinar Harian

Tiada ulasan: