Mohsin Abdullah
Timbul persoalan apa akan jadi dengan PN apabila Hamzah Zainudin nyata Bersatu sedia kerjasama dengan Umno.
Apabila Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin berkata partinya sedia menjalinkan kerjasama dengan Umno, persoalan pertama yang muncul pada hemat saya adalah ‘apa kata PAS’? Perlu ditegaskan semasa artikel ini ditulis, belum ada reaksi PAS. Sebenarnya, semua pihak yang terkait dengan isu ini belum beri respon, setakat ini.
Persoalan kedua, mana mahu ‘diletakkan’ PAS, sekali gus persoalan susulan, apa akan jadi dengan Perikatan Nasional (PN)? Senasib dengan Muafakat Nasional (MN)? Layu sebelum berkembang? Sebenarnya, banyak lagi persoalan timbul.
Imbau kembali apa kata Hamzah semasa menjadi tetamu audio siar Keluar Sekejap tempoh hari. Saya tidak mengikuti siaran itu, maka saya menulis berpandukan apa yang dilapor Sinar Harian.
Akhbar itu memetik Hamzah berkata, kesediaan Bersatu jalin kerjasama dengan musuh ketatnya ‘demi mencapai matlamat perjuangan politik’. Adakah ini bermakna ‘the end justifies the means’?
Kata Hamzah lagi, tiada sebab bagi Umno dan Bersatu untuk terus berpecah jika kedua-dua parti berkongsi perjuangan dan wadah politik yang sama. “Saya tak nampak pun pertembungan yang menyebabkan Umno dengan Bersatu tidak boleh duduk semeja,” katanya. Tetapi bukankah ‘pertembunganlah’ yang terjadi selama ini menyebabkan Bersatu dan Umno bermusuhan (pelik kalau Hamzah tak nampak). Namun Bersatu ialah parti serpihan Umno. Dalam bahasa lembut, asal Bersatu ialah Umno. Lantas bolehlah dikatakan Bersatu ada DNA Umno.
Imbas kembali. Bersatu atau nama penuhnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia diasaskan Dr Mahathir Mohamad bersama Muhyiddin Yassin pada September 2016, didaftarkan pada 14 Jan 2017 dan disahkan 14 Jan 2017.
Bersatu menyertai Pakatan Harapan (PH) dan apabila gabungan itu menang PRU14 pada 2018, Mahathir menjadi perdana menteri Malaysia yang ketujuh. Beliau mahu Bersatu mengambil alih daripada Umno untuk jadi parti utama mewakili orang Melayu. Impian itu seakan-akan menjadi kenyataan apabila beberapa pemimpin berprofil tinggi dan ahli Umno menyertai Bersatu. Bagai sirih pulang ke gagang, katanya, namun penghijrahan beramai-ramai yang diharapkan Mahathir tidak berlaku.
Umno kekal sehingga kini sementara Bersatu tidaklah menjadi parti utama orang Melayu, malah dilihat tidak sekuat seperti yang diharapkan. Hakikatnya, Bersatu dan Umno dua-dua tidak mendapat gelaran parti utama Melayu. Gelaran itu, menurut saya, milik PAS. Bukan rahsia lagi Bersatu banyak bergantung harap pada PAS dalam PN.
Berbalik persoalan tadi, apa akan jadi dengan PN? Bubar seperti apa yang terjadi dengan MN? MN ditubuhkan oleh Umno dan PAS pada 2019 tetapi bubar sebagai entiti politik pada 2022, dan jadi badan bukan kerajaan sekarang.
Ditegaskan sekali lagi, kekuatan PN banyak dicapai oleh PAS, bukan Bersatu. Walaupun dinafikan, realitinya adalah PAS ‘abang besar’ dalam PN. Jadi adakah Hamzah telah mendapat restu PAS sebelum menyatakan kesediaan partinya bekerjasama dengan Umno?
Katalah PAS restu, adakah parti itu juga akan menyertai rombongan Bersatu duduk semeja dengan Umno bincang kerjasama? Namun bukankah PAS sudah berulang kali berkata tidak akan kerjasama dengan Umno selagi Zahid Hamidi presiden? ‘Last time I checked’, Zahid masih presiden Umno.
Apa pun, semua boleh jadi dalam politik. Kata seorang kawan lama sambil ketawa, beliau tidak akan terkejut ‘jika selepas ini ada puak yang kata, kami sokong Malaysia Madani demi masa depan Melayu’. Saya tak pasti sama ada kawan saya itu berseloroh atau perli, tidak pula saya tanya. Mungkin beliau rujuk langkah enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan terhadap PMX tahun lepas.
Satu lagi persoalan – adakah Hamzah sudah dapat lampu hijau presidennya, Muhyiddin, sebelum membuat kenyataan menerusi podcast yang dikendalikan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan Jumaat lepas ?
Yang ingin saya katakan, walaupun Hamzah pegang jawatan tinggi dalam parti, tetapi jawatan nombor dua tetap ada ‘boss’ di atas. Adakah beliau mendapat mandat parti untuk menyatakan kesediaan Bersatu bekerjasama dengan Umno? Ini langkah besar membabitkan parti. Atau adakah itu hanya pandangan peribadi beliau?
Ada lagi persoalan penting – apa agaknya reaksi Umno? Adakah ia bersedia berdamai dengan musuh ketat? Selama ini, banyak kata kesat yang dilemparkan Bersatu terhadapnya (‘Umno is no angel’. Ia pun lempar kata-kata kesat terhadap Bersatu). Andai setuju kerjasama ‘demi Melayu’, mungkinkah persetujuan datang bersama beberapa syarat?
Kerjasama dengan Umno secara tidak langsung bermakna kerjasama dengan rakan-rakan Umno dalam kerajaan perpaduan. Adakah Hamzah OK dengan itu? Atau mungkin Hamzah ada strategi tersendiri apabila melambungkan kesediaan Bersatu?
Setakat ini lebih banyak persoalan daripada jawapan. Indahnya politik kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan