"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dipukul kerana berpuasa: Pengawal sebak bekas majikan dipenjara, denda

Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my
MOHD Azminizam (tengah) serta Ahmad Shamsuri (kanan) keluar dari Mahkamah Majistret Klang selepas keputusan kes. FOTO Faiz Anuar
MOHD Azminizam (tengah) serta Ahmad Shamsuri (kanan) keluar dari Mahkamah Majistret Klang selepas keputusan kes. FOTO Faiz Anuar
Klang: Dua pengawal peribadi yang dipukul majikan kerana berpuasa empat tahun lalu bersyukur selepas bekas majikannya dijatuhkan hukuman penjara dan denda di Mahkamah Majistret, hari ini.

Kedua-dua pegawal peribadi, Mohd Azminizam Zulkepli, 48, dan Ahmad Shamsuri Zailani, 31, ditemui di luar mahkamah selepas prosiding selesai.

Menurut Mohd Azminizam, dia sehingga kini masih trauma dengan kejadian yang menimpa dirinya ketika berpuasa pada 2021 itu.

"Niat saya adalah untuk menyempurnakan ibadah Ramadan namun sebaliknya dihina dan dicederakan majikan ketika itu.

"Alhamdulilah, doa saya dan keluarga dimakbulkan Allah apatah lagi keputusan mahkamah ini juga pada bulan puasa," katanya sebak.

Beliau berkata, tugas pengawal peribadi adalah menjaga majikan dan bukannya dipukul atau dihina.

Sementara itu, Ahmad Shamsuri berkata, penat lelah ke mahkamah selama empat tahun berbaloi dengan keputusan berkenaan.

"Ia adalah keadilan buat kami dan perjuangan kami selama ini tidak hanya sia-sia. Terima kasih juga kepada rakyat Malaysia yang terus menyokong dan mendoakan kami," katanya.

Terdahulu, ahli perniagaan dipenjara enam tahun 10 bulan dan didenda RM22,000 kerana menghina, mengugut dan mencederakan pengawal peribadinya kerana berpuasa, empat tahun lalu.

Majistret Siti Zubaidah Mahat menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Chung Chee Yang, 47, disabitkan bersalah atas tiga pertuduhan terhadapnya di daerah ini pada 2021.

Tiada ulasan: