Harapandaily
Peguam Zulhazmi Shariff menempelak sikap Pas berhubung projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur yang melibatkan rumah flat dan teres.
Menurutnya, isu terbabit melibatkan pengambilan tanah pemilik tanah dan kemudian dijual kepada pemaju oleh kerajaan.
Namun, ujarnya, ketika Pas dalam kerajaan, tanah diambil tetapi parti itu juga sekarang yang tampil membantah dan menyalahkan pihak lain.
Beliau menjelaskan notis pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah bagi tujuan pembangunan semula dikeluarkan semasa Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara iaitu sewaktu Mahiaddin Yassin menjadi Perdana Menteri dan Annuar Musa sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.
“Dibantah pemilik tanah. Sebahagian terpaksa bersetuju dan mendapat pampasan. Yang tak setuju dengan pampasan, failkan rayuan di Mahkamah tetapi ditolak.
“Sewaktu Shahidan Kassim jadi Menteri Wilayah, dia ada janji tak akan halau selagi tak selesai. Sekarang khabarnya bailif Mahkamah serah notis pengosongan.
“Isunya, semasa tanah diambil sewaktu pentadbiran PN, kenapa MP dan orang-orang Pas tak mengamuk sedangkan mereka dalam kerajaan?
“Sekarang, siap turun buat solat hajat kononnya pertahan tanah Melayu.
“Ini bukan hal politik yang saya nak cakap, tapi nak cakap bahawa orang Pas ni tiga suku!
“Masa dia kerajaan, tanah diambil, sekarang dia pembangkang, dia nak bantah dan salahkan orang lain,” tegas Zulhazmi lagi menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Punca dari PN
Untuk rekod, penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 dalam isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru berpunca daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menyebabkan pemilik sah tanah kini dianggap seperti setinggan.
Menurut bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, tindakan itu mula dilaksanakan semasa pentadbiran Tan Sri Annuar Musa dan Tan Sri Shahidan Kassim sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, walaupun sebelum itu proses perbincangan secara persetujuan bersama telah dijalankan.
Mengulas lanjut, Zulhazmi berkata, terdapat pemilik tanah memberitahu baru tahu tanah itu di bawah Lembaga Pentadbiran Penempatan Pertanian Melayu atau Malay Agricultural Settlement (MAS).
Jadi, pemilik terbabit berpendapat rumah mereka tidak wajar diambil.
“Akta Pengambilan Tanah tak kira status tanah, tanah kubur pun dia boleh ambil asalkan sesuai dengan tujuan pengambilan.
“Kemudian, jika betul nak ikut Enakmen MAS, tuan-tuan tanah tak wajar ada geran sebab tanah MAS itu milik Lembaga MAS bukan milik individu.
“Jadi, kalau nak guna Enakmen MAS, kaji dulu apa benda Enakmen tu, jangan main sebut saja,” jelas Zulhazmi lagi.
Beliau yang juga bekas Exco Pemuda Pas Pusat sebelum meninggalkan parti itu pada 2015 dan kemudiannya menyertai DAP turut mengulas berkenaan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri berkenaan pada 23 Mac lalu berkata, tanah di kawasan Kampung Sungai Baru, Kampung Baru yang terlibat dengan pembangunan semula sepatutnya dinilai sebanyak RM3,000 bagi setiap kaki persegi.
“Janganlah macam tu Tun. Jangan suka-suka sebut harga begitu.
“Dulu masa Tun jadi PM dan Haji Khalid Samad jadi Menteri Wilayah, kita setuju nilai tanah di Kampung Baru adalah RM1,000 sekaki persegi,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan